KUALA LUMPUR 8 Ogos – Masalah sosial perbandaran masih tidak lekang dengan isu lambakan iklan haram yang ditampal dan digantung di tempat-tempat awam dalam mana-mana kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Daripada iklan pinjaman wang, ubat kuat, sehinggalah perkhidmat tusen di rumah turut ditawarkan pihak tidak bertanggungjawab.
Tinjauan Utusan Malaysia sekitar Lembah Klang termasuk di Negeri Sembilan dan Melaka baru-baru ini mendapati ke-giatan ini masih sukar dikekang malah kebijaksanaan strategi mengiklankan perkhidmatan mahupun produk seolah-olah mereka kebal daripada tindakan undang-undang.
Di sekitar ibu negara, tiang-tiang lampu dan jejambat di Jalan Ampang dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) antara yang teruk ‘ditawan’ poster dan grafiti haram.
Jika sebelum ini hanya kertas atau poster ditampal, kini mereka semakin berani menggunakan cat kekal bagi mengelakkan operasi pembersihan dilakukan.
Sementara itu, tinjauan di sekitar bandar Seremban mendapati, kegiatan itu turut berlaku di beberapa lokasi utama walaupun jumlahnya tidak banyak seperti sebelum ini.
Utusan Malaysia difahamkan, operasi berterusan oleh pihak penguat kuasa Majlis Perbandaran Seremban menurunkan iklan haram sama ada dalam bentuk poster dan pelekat menjadi faktor utama kegiatan itu berkurangan.
Situasi sama turut berlaku di pusat bandar raya Melaka dan di Alor Gajah, tetapi masih terkawal.
Difahamkan, penguatkuasaan yang dilakukan oleh PBT di ne-geri ini agak agresif menyebabkan agak sukar untuk melihat kebanjiran iklan haram.
Bukan menidakkan usaha yang diambil PBT lain, namun isu ini perlu ditangani secara lebih tuntas dan sehabis-habisnya.
Tindakan tegas dan proaktif perlu diambil pihak berwajib sebagai langkah mengelak daripada orang ramai terlibat dalam masalah sosial dan jenayah seperti ceti haram dan pelacuran.











