KUALA LUMPUR 8 Ogos- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, Malaysia bersedia menghulurkan bantuan kepada kerajaan Indonesia susulan kejadian gempa bumi yang berlaku di Lombok, Ahad lepas.
Kata Dr. Wan Azizah, beliau telah menghubungi Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dan turut mengucapkan takziah di atas tragedi yang berlaku itu.
“Siang tadi sempat menelefon Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mengucapkan takziah tragedi gempa bumi Lombok. Malaysia bersedia untuk memberikan apa jua bentuk bantuan yang diperlukan,” katanya menerusi catatan di akaun Twitter miliknya hari ini.
Seramai 102 mangsa dilaporkan terkorban akibat gempa bumi berukuran 7 skala Richter yang menggegarkan bahagian utara pulau Lombok.
Sementara itu, tambah Timbalan Perdana Menteri, beliau turut berkesempatan berterima kasih di atas bantuan kerajaan Indonesia yang telah menyerahkan kapal mewah ‘The Equanimity’ yang tiba di Pelabuhan Klang dan berlabuh di Terminal Boustead Cruise Center semalam. – UTUSAN ONLINE











