Malaysia optimis jaminan keselamatan PSSI - Utusan Malaysia

Malaysia optimis jaminan keselamatan PSSI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGURUS skuad bawah 16 tahun (B-16) negara, Datuk S. Sivasundram menaruh keyakinan terhadap Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) berhubung jaminan keselamatan menjelang aksi separuh akhir kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-16 bertemu pasukan tuan rumah, Indonesia hari ini.

SIVASUNDRAM
SIVASUNDRAM

Pasukan muda negara mara ke separuh akhir selepas muncul naib juara Kumpulan B de­ngan kelebihan sembilan mata, sekali gus mengiringi juara peringkat kumpulan, Thailand yang memungut 10 mata.

Bagaimanapun, pertembu­ngan Malaysia menentang In­­donesia menimbulkan kerisauan buat para penyokong bola sepak tempatan ekoran sentimen bola sepak kedua-dua negara sentiasa menjanjikan drama panas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terbaharu, skuad B-19 kendalian Bojan Hodak telah dibaling objek serta botol minuman selepas pasukan muda negara menjua­rai AFF B-19 di Indonesia baru-baru ini.

Malah, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee turut berdepan situasi cemas apabila pemenang pingat emas Sukan SEA itu terpaksa pulang dari Stadium Gelora Bung Karno dengan menaiki kereta kebal Indonesia, Barracuda ekoran ancaman keselamatan terhadap skuad muda negara pada 2011.

Mengulas mengenai pertembungan Malaysia dan Indonesia, Sivasundram optimis terhadap jaminan ke­selamatan yang diberikan PSSI dan pasukan keselamatan Indonesia.

“Saya yakin tiada perkara buruk yang akan berlaku esok (hari ini). Ini kerana kita telah diberikan jaminan oleh PSSI dan polis negara ini bahawa aksi separuh akhir AFF B-16 akan berlangsung dengan aman.

“Saya tidak mahu menghangatkan keadaan dan kita mahu memandang positif kerana kami hanya fokus apa yang berlaku di atas padang, bukannya terlalu memikirkan penyokong-penyokong Indonesia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, Sivasundram menggesa barisan pemain agar menjaga mental mereka dalam keadaan terbaik kerana beliau sedar ia bukan tugas mudah buat skuad B-16 bermain di gelanggang lawan terutama melibatkan penyokong-penyokong Indonesia.

“Saya mahu pemain-pemain mengambil aksi separuh akhir nanti sebagai cabaran. Ini pen­ting buat kita kerana watak juara sentiasa berdepan situasi sukar tetapi harus bijak mena­ngani keadaan-keadaan sulit.

“Jadi, saya tidak mahu mereka terlalu takut atau hormat Indonesia dalam perlawanan nanti. Apa yang mustahak kita harus bersiap sedia dengan penyokong-penyokong mereka kerana sudah pasti Indonesia memiliki kelebihan bermain di laman sendiri.

“Bagaimanapun, ini bukan alasan buat kami dan sudah pasti kami akan berusaha keras untuk memastikan pasukan negara akan layak ke pentas final nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×