KUALA LUMPUR – Kira-kira 41,800 penerima ditamatkan bantuan kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat antara Januari hingga Jun tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri D.r Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, ia disebabkan pelbagai faktor seperti meninggal dunia iaitu sebanyak 11,874 kes; tukar skim bantuan lain (4,242 kes); tidak memenuhi kriteria kelayakan (4,090 kes) dan berpindah ke luar daerah (3,132 kes).
Sebanyak 2,635 kes pula kerana penerima telah mampu berdikari, 22 kes dirujuk ke agensi lain selain 15,820 kes lain-lain faktor seperti telah pulih dari penyakit dan mempunyai sumber pendapatan.
“Setiap bantuan yang ditamatkan akan dimaklumkan kepada klien dengan surat yang dijana melalui sistem e-Bantuan. Di samping itu orang awam juga boleh membuat semakan dalam talian melalui sistem e-Bantuan berkaitan status permohonan bantuan mereka,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) mengenai aduan terdapat bantuan kebajikan yang telah dihentikan tanpa sebarang pengumuman pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini. – Bernama











