KUALA LUMPUR 8 Ogos – Aktivis sosial, Nisha Ayub yang merupakan seorang transgender mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menurunkan gambarnya yang dipamerkan pada Festival Georgetown di Pulau Pinang yang disifatkannya sebagai tidak selari dengan semangat Malaysia Baharu.
Nisha berkata, dia tidak marah serta bimbang dengan tindakan mengeluarkan gambarnya namun berasa sedih dengan tindakan itu yang seolah-olah menafikan hak golongan terpinggir.
“Apa yang berlaku kepada Malaysia Baharu? Adakah ini yang masyarakat terpinggir undi? Mereka bercakap tentang sensitiviti kumpulan tertentu bagaimana pula sensitiviti kumpulan lain? Tidakkah kita sebahagian daripada sistem?”
“Mereka bercakap mengenai hak sebagai warganegara Malaysia tetapi mereka menafikan orang seperti kami untuk menunjukkan kecintaan kepada negara sendiri,” tanya Nisha.
Selain gambar Nisha, poster seorang lagi aktivis Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) Pang Khee Teik yang bergambar dengan bendera Malaysia turut dikeluarkan dari pameran Festival Georgetown.
Gambar kedua-dua mereka diturunkan atas arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa selepas menerima aduan daripada orang awam serta tidak selari dengan dasar kerajaan.
“Wahai Malaysia Baharuku, saya mungkin transgender, hantu, jahat, pondan, bapuk atau apa sahaja gelaran yang ingin anda lemparkan.
“Tetapi saya masih rakyat Malaysia yang mempunyai keluarga, kawan dan sentiasa berharap Malaysia yang lebih baik dan inklusif. Malaysia bukan hanya mengenai satu kumpulan atau kaum tertentu tetapi juga untuk semua,”tegas Nisha.
Nisha berkata, adakah satu jenayah untuk menunjukan semangat patriotisme kepada negara. Pameran Festival Georgetown berlangsung dari 4 Ogos lalu hingga 2 September depan sempena menyambut Hari Kemerdekaan. -UTUSAN ONLINE











