KUALA LUMPUR 8 Ogos – Pertuduhan tambahan yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 tiada kena mengena dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib turut menegaskan bahawa pendakwaan kes tersebut juga tidak ada kena mengena dengan kapal mewah ‘The Equanimity’ milik ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low yang baru tiba di Pelabuhan Klang semalam.
Beliau berkata, pendakwaan hari ini hanya kebetulan dan tidak ada kena mengena dengan 1MDB dan isu kapal yang baru sampai di Pelabuhan Klang.
“Orang ramai mungkin beranggapan pertuduhan hari ini ada kaitan dengan kapal atau 1MDB, saya tegaskan perkara itu tidak ada kena mengena langsung,” katanya.
Kapal mewah ‘The Equanimity’ dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana 1MDB. Pihak berkuasa antarabangsa masih memburu Jho Low yang dikatakan pemilik kapal itu.
Kapal itu disita di Bali pada Februari lalu atas permintaan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) namun pada April lalu, mahkamah Indonesia memutuskan pihak Indonesia tidak boleh bertindak sedemikian dan kapal itu perlu dikembalikan kepada pemiliknya.
Bagaimanapun Kerajaan Indonesia merampasnya sekali lagi pada Julai. – UTUSAN ONLINE











