PUTRAJAYA 8 Ogos – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia akan diadakan secara serentak dengan DUN Balakong pada 8 September ini.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood berkata, mesyuarat khas yang diadakan hari ini juga menetapkan 18 Ogos ini sebagai hari penamaan calon kedua-dua PRK.
“Kita adakan kedua-dua PRK ini secara serentak berdasarkan faktor logistik, keselamatan serta kemudahan petugas. Langkah ini kita lihat boleh memudahkan urusan semua pihak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya, di sini baru-baru ini.
Othman berkata, sebanyak 53,492 pemilih layak mengundi bagi PRK DUN Seri Setia iaitu mengikut daftar pemilih sehingga suku pertama 2018 yang telah dikemaskini pada 2 Ogos. – UTUSAN ONLINE











