Judi, penerbangan dikena cukai perkhidmatan 6% - Utusan Malaysia

Judi, penerbangan dikena cukai perkhidmatan 6%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan 2018 dibentangkan dan dibaca buat kali kedua dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Rang undang-undang itu dibacakan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Dalam pembentangan rang undang-undang berkenaan, Guan Eng berkata, beberapa perkhidmatan telah dicadangkan untuk dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus seperti aktiviti perjudian yang terdiri daripada nombor ramalan, kasino, kelab, loteri dan lumba kuda.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, turut dikenakan cukai pada kadar enam peratus adalah perkhidmatan penerbangan dan catar kapal terbang (termasuk helikopter) domestik.

“Perkhidmatan penerbangan tersebut tidak termasuk perkhidmatan di bawah Perkhidmatan Udara Luar Bandar di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tambah Guan Eng, perkhidmatan teknologi maklumat kecuali perkhidmatan yang diliputi di bawah kategori pengurusan dan khidmat nasihat serta bekalan elektrik kepada pengguna domestik (bagi penggunaan melebihi 600 unit setiap bulan) turut dikenakan cukai perkhidmatan enam peratus.

Selain itu, beliau memberitahu, penetapan juga telah dibuat supaya caj bilik dan makanan yang dikenakan oleh pihak hospital swasta yang sebelum ini dikenakan cukai perkhidmatan enam peratus tidak lagi dikenakan cukai perkhidmatan di bawah sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) baharu.

“Ini bermaksud keseluruhan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan oleh hospital swasta tidak dikenakan sebarang cukai kepenggunaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×