Khidmat PPS masih diteruskan - Utusan Malaysia

Khidmat PPS masih diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 7 Ogos – Khidmat Pegawai Perhubungan Polis (PPS) yang ditempatkan di 595 sekolah di seluruh negeri ini masih diteruskan bagi membantu menangani masalah disiplin yang berlaku.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, seramai 1,834 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk 235 pegawai kanan ditempatkan bagi mengawasi masalah jenayah melibatkan pelajar serta guru.

“PPS bukan sahaja mengawasi masalah disiplin yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah bahkan juga guru yang terjebak dengan masalah jenayah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan statisitik daripada 2015 hingga semalam melaporkan seramai 21 guru terlibat dalam kes jenayah di negeri ini. Contohnya, banyak kes melibatkan Seksyen 323 iaitu seksaan yang menyebabkan kecederaan. Kalau kita teliti kes ini, misalnya setakat pulas telinga ataupun berlaku sentuhan yang berbentuk ingin memberikan pengajaran itu sebenarnya adalah normal.

“Namun, ada segelintir ibu bapa hari ini yang begitu cepat hendak membuat laporan polis sedangkan perkara yang berlaku pada anak mereka tidaklah begitu serius,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Pendidikan negeri, Muhammad Zahari Othman dan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock.

Terdahulu, Muhammad Zahari menyempurnakan Majlis Pelancaran Poster Disiplin Kolaborasi NUTP, JPN dan PDRM serta Seminar Integriti Pengetua dan Guru Besar peringkat negeri di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan negeri di sini hari ini. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×