CANBERRA 6 Ogos – Perdana Menteri, Malcom Turnbull memberi amaran Australia akan menjadi ‘negara kemarau’ walaupun negara ini sedang mengalami musim sejuk.
Beberapa bahagian di timur negara ini mengalami kemarau paling teruk dalam sejarah.
Sebanyak 99 peratus kawasan New South Wales yang merupakan negeri paling ramai penduduk dan menyumbang suku daripada pengeluaran pertanian kini dilanda kemarau.
Sehubungan itu Turnbull mengumumkan dana tambahan berjumlah A$140 juta (RM422.2 juta) untuk membantu golongan petani yang terhimpit akibat bencana alam dan sebagai sokongan bagi kesihatan mental.
Lapor portal BBC, secara keseluruhan kerajaan negara ini telah menyalurkan dana sebanyak A$576 juta (RM1.76 bilion).
Ketika mengumumkan peruntukan itu beliau berkata, Australia kini menjadi negara kemarau dan banjir.
“Kami menyedari cuaca di negara ini sering berubah-ubah dan golongan petani Australia merupakan golongan tahan lasak, mereka telah merancang pelan untuk menghadapi kemarau, mereka adalah pengurus yang baik namun kadangkala keadaan menjadi terlalu mendesak,” katanya.
Stesen televisyen ABC News menyiarkan rakaman Turnbull menenangkan seorang petugas kebajikan yang menangis ketika menceritakan situasi sekarang yang disifatkan ‘dahsyat’.
“Setiap hari saya merasa bimbang apabila diarah untuk menyelamatkan keluarga petani ini kerana takut saya terlambat,” katanya petugas wanita itu.











