Betulkan fakta sejarah Durbar - Utusan Malaysia

Betulkan fakta sejarah Durbar

Gambar Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah berpakaian baju Melayu Teluk Belanga bersama pembesar baginda dan Raja-raja Melayu serta pegawai Inggeris selepas persidangan Raja-raja Melayu (Durbar) pertama di Kuala Kangsar, Perak pada 13 hingga 17 Julai 1897. - GAMBAR IHSAN MOHAMAD AWIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Fakta sejarah tempatan berhubung kehadiran Tok Bahaman dan Mat Kilau pada Persidangan Raja-Raja Melayu (Durbar) pertama di Istana Negara Kuala Kangsar, Perak pada Julai 1897 didakwa tidak tepat dan perlu diperbetulkan.

Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Datuk Aripin Said berkata, selaku pewaris pembesar Istana Pahang, Tok Jebek dan pengkaji sejarah lain termasuk beliau sendiri yang membuat kajian ilmiah di Muzium British, London pada 1978 dan 1989 menemukan beberapa fakta bercanggah dengan apa yang diuar-uarkan dalam buku sejarah dan jurnal-jurnal tempatan.

Bagaimanapun, fakta tersebut tidak melibatkan dalam buku teks sekolah.

Menurut beliau, dalam gambar semasa Durbar pertama itu, tiada kelibat Tok Bahaman dan Mat Kilau seperti yang ditulis.

“Mengikut sejarah, Mat Kilau meninggal dunia ketika bertempur dengan askar Siam di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1895.

“Inggeris juga mengisytiharkan pemberontakan di Pahang tamat pada tahun itu susulan kematian Mat Kilau,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Jelas Aripin, dalam gambar Durbar pertama tersebut yang ada hanya seorang pahlawan dikenali Panglima Gajah Tunggal, Datuk Setia Tok Jebek Tok Akil yang duduk di sebelah kiri dengan memegang keris panjang dianugerah sultan.

Tok Jebek yang dilahirkan pada 1842 di Kampung Batu Bohor, Chenor, Maran meninggal dunia di Mekah pada 1924. Tok Jebek adalah pembesar kepercayaan Sultan Pahang pertama, Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah.

“Tok Jebek juga disayangi Sultan Ahmad sehingga terdapat satu peristiwa baginda meminjam baju Melayu dan songkok milik Tok Jebek untuk dipakai pada persidangan Durbar pertama kerana pakaian diraja baginda tertinggal di Pekan.

“Peristiwa baju kebesaran tertinggal di Pekan diceritakan sendiri oleh kerabat baginda, Tengku Koris Tengku Jaafar kepada saya ketika membuat kajian sarjana di Pekan 20 tahun lalu,” katanya.

Sebab itu, kata beliau, dalam Durbar pertama itu semua Sultan Melayu memakai pakaian kebesaran negeri masing-masing tetapi Sultan Ahmad memakai baju Melayu Teluk Belanga.

“Saya ingin jelaskan bahawa sebelah Tok Jebek ialah Orang Kaya Pahlawan Chenor dikenali Engku Abdullah, diikuti Panglima Garang Berapi Chenor dan Orang Kaya Maharaja Perba Jelai, Wan Mohamad Wan Idris (1827-1919).

“Belakang Sultan Ahmad ialah Orang Kaya Indera Segara, Tok Tahir Temerloh dan diikuti Kadi Ibrahim Abu Hurairah Berhala Gantang (1830-1924) manakala yang memakai seperti serban besar ialah Orang kaya Indera Shahbandar Mohd. Taib Jidin iaitu susur galur kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Katanya, fakta tersebut perlu dibetulkan demi kelangsungan kesahihan sejarah tanah air.

Sementara itu, pakar sejarah, Profesor Dr. Ramlah Adam berkata, dalam Durbar pertama, tidak mungkin ada penglibatan Mat Kilau, Tok Gajah dan Tok Bahaman kerana tiga pahlawan berkenaan menentang Residen British, Hugh Clifford selepas Sultan Ahmad menerima kehadirannya pada 1888.

Justeru, jelasnya, semasa berlangsungnya Durbar pertama, ketiga-tiga tokoh berkenaan tidak mungkin terlibat kerana sudah dianggap penderhaka oleh Sultan Ahmad.

“Tiga tokoh berkenaan menjadi buruan sehingga mereka lari ke Terengganu, Kelantan dan Siam.

“Mat Kilau dikatakan mati dalam serangan oleh tentera Siam, Tok Bahaman dilindungi di Chiangmai tapi mengikut sumber orang tempatan terutamanya cucu Mat Kilau mengatakan datuknya balik ke Pekan dan menamakan dirinya Mat Siam.

“Tok Bahaman pula dipercayai balik ke Pekan dan menyamar atau dipanggil penduduk sebagai Tok Peramu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, tidak mungkin Mat Kilau, Tok Bahaman dan Tok Gajah ada dalam Durbar pertama kerana Sultan Ahmad dan British telah menyingkirkan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×