JCorp mampu tarik pelaburan RM18 bilion - Utusan Malaysia

JCorp mampu tarik pelaburan RM18 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 2 OGOS – Johor Corporation (JCorp) dijangka mampu membawa masuk pelaburan kira-kira RM18 bilion dalam tempoh lima tahun melalui tiga zon perindustriannya di Muar, Pengerang dan Sedenak yang menghimpunkan pelabur dalam industri yang khusus.

Presiden dan Ketua Eksekutif­nya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, bagi zon perindustrian di Pengerang, JCorp sedang giat menjalankan perancangan untuk membangunkan Pengerang Industrial Park (PIP) di tanah berkeluasan 319 hektar.

Beliau berkata, PIP yang terletak bersebelahan dengan tapak projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petroki­mia (RAPID) Petronas akan diba­ngunkan dengan ekosistem yang inklusif bagi memenuhi permintaan daripada pemain industri minyak dan gas terutamanya industri hiliran.

“JCorp turut merancang untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membangunkan PIP 2 seluas 129 hektar. Projek ini dijangka akan menyokong pembangunan projek RAPID Petronas serta merancakkan lagi aktiviti pembangunan di kawasan sekitarnya.

“Kita menjangkakan pemba­ngunan ini akan menarik RM15.2 bilion pelaburan ke negeri ini serta mewujudkan kira-kira 3,600 peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas memghadiri JCorp Investor and Networking Day di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse.

Kamaruzzaman berkata, dua lagi zon perindustrian yang diberi tumpuan ialah pembangunan tapak operasi kilang perabot yang lebih tersusun dan bersepadu di Muar Furniture Park (MFP) seluas 399 hektar serta Hab Data Iskandar Sedenak (SIDH) seluas 161 hektar.

Beliau berkata, pembangunan MFP yang mampu menempatkan lebih 130 syarikat perkilangan serta sebuah pusat sehenti bagi aktiviti promosi dan pemasaran merupakan inisiatif kumpulan bagi menyusun semula operasi kilang perabot, khususnya di Bakri, Muar.

“Johor merupakan pengeks­port perabot terbesar di negara ini dan mengeksport produk ke lebih 160 negara. Pembangunan MFP juga akan memberi impak sosioekonomi negara dan memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam senarai 10 negara pengeksport perabot terbesar dunia.

“Bagi pembangunan SIDH pula, fokus zon perindustrian ini tertumpu kepada pembangunan hab pangkalan data dan dimajukan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC),” katanya.

Selain tiga pembangunan tersebut, JCorp turut menumpukan usaha bagi menarik pelaburan ke Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat (TLIC) yang bersesuaian bagi industri berat seperti keluli, petrokimia serta minyak dan gas.

“Majoriti kegiatan di TLIC yang seluas 505 hektar menjurus kepada industri berat termasuk kimia, oleokimia, logistik dan kejuruteraan selain pelabuhan serta pergudangan.

“JCorp telah membelanjakan lebih RM1 bilion bagi membangunkan kompleks perindustrian tersebut. Hingga kini, JCorp telah membawa masuk 116 projek dengan nilai pelaburan hampir RM24 bilion ke TLIC,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×