KUALA LUMPUR 29 Mei – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengunjurkan trafik penumpang penerbangan di Malaysia meningkat antara 6.5 dan tujuh peratus tahun ini dengan jumlah penumpang melebihi 100 juta buat julung-julung kalinya.
Pengerusi Eksekutif Mavcom, Tan Sri Abdullah Ahmad berkata, berdasarkan kepada laporan industri Waypoint terbaharu, suruhanjaya tersebut optimistik bahawa prestasi industri penerbangan negara akan kekal positif pada tahun 2018.
Katanya, industri merekodkan prestasi kukuh pada 2017 berbanding 2016, didorong oleh pertumbuhan trafik penumpang penerbangan Malaysia sebanyak 8.1 peratus dari tahun ke tahun bersamaan dengan 99.1 juta penumpang antarabangsa dan domestik.
“Secara keseluruhannya, industri penerbangan Malaysia berada pada kedudukan yang baik bagi mengekalkan pertumbuhan walaupun berdepan pelbagai cabaran seperti keuntungan operasi yang semakin mengecil dan kenaikan harga minyak.
“Dua tahun lepas industri penerbangan terus kukuh melalui pertumbuhan trafik penumpang, keuntungan operasi industri dan modal pasaran syarikat penerbangan awam, terutamanya jika dibandingkan dengan tempoh lampau terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Berdasarkan kepada laporan itu, syarikat-syarikat penerbangan Malaysia telah meningkatkan kadar pertumbuhan Perolehan Tempat Duduk Kilometer Tersedia (RASK) melebihi kadar pertumbuhan Kos Tempat Duduk Kilometer Tersedia (CASK).
Abdullah berkata, pertambahan tersebut membolehkan pengecilan jurang negatif antara RASK dan CASK sebanyak 42.5 peratus pada tahun 2017 berbanding tahun sebelumnya.
Selain itu, beliau memberitahu, daripada kerugian sebanyak RM500 juta pada 2014, keuntungan operasi bagi industri penerbangan telah melalui pemulihan yang ketara apabila berjaya mencatat peningkatan RM1.6 bilion pada 2017.
“Setakat Disember 2017, modal pasaran syarikat penerbangan meningkat 38.4 peratus kepada RM25.6 bilion daripada RM18.5 bilion pada awal tahun 2014 mengatasi prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI sebanyak 50.5 peratus antara 2014 dan 2017.
“Pertumbuhan kukuh ini dipacu oleh permintaan penerbangan yang tinggi, kawalan inventori tempat duduk yang lebih baik dan persekitaran harga bahan api yang rendah,” ujarnya.
Menurut Abdullah, berdasarkan unjuran agensi-agensi antarabangsa termasuk Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), harga minyak mentah dijangka meningkat antara 8.5 hingga 10.3 peratus tahun ini dari tahun lepas.
“Ini mungkin akan memberi tekanan kepada keuntungan syarikat penerbangan yang telah sedia sensitif terhadap persekitaran penerbangan tambang murah yang kompetitif. Cabaran ini akan terus kekal namun Mavcom masih optimistik,” katanya.
Laporan itu juga menyimpulkan dari segi destinasi ke destinasi, Malaysia merupakan rangkaian keempat tertinggi di ASEAN selepas Thailand, Singapura dan Indonesia yang mempunyai sambungan udara dan tempat duduk yang lebih tinggi.
Dari segi penumpang transit pula, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) adalah lapangan terbang hab antarabangsa kedua terbesar di ASEAN selepas Lapangan Terbang Changi, Singapura (SIN) yang menghubungkan negara China, India, Thailand dan Indonesia.











