MERBOK 29 Mei – Kira-kira 40 peserta, termasuk imam, bilal dan pelajar tahfiz di sekitar daerah Kuala Muda dipilih menyertai Kursus Taranum al-Quran 2018 yang berlangsung di Bilik Seminar dan Kaunseling Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah, Merbok, Kedah di sini, baru-baru ini.
Ini merupakan kali pertama Bahagian Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Kedah menganjurkan kursus itu dan mendapat sokongan Penolong Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Mohd. Nazif Zakaria.
Penyelaras kursus itu, Ahmad Yumni Abu Bakar berkata, usaha tersebut diadakan bertujuan untuk menyebarkan ilmu berkaitan kitab suci al-Quran iaitu membimbing masyarakat supaya beramal membaca al-Quran dengan betul.
“Adalah memberi satu kebaikan kepada sesiapa sahaja jika terus faham mengenai kaedah lagu-lagu taranum kemudian mengajar dan membimbing orang lain tentang kaedah, tabaqat dan intonasinya dalam kehidupan seharian.
“Usaha dilakukan ini boleh melahirkan lebih ramai para ilmuan yang mahir dalam bidang tersebut dan kursus diadakan mendapat galakan daripada Ketua Pusat Pengajian ACIS UiTM sendiri, Osman Abd. Hamid dan hal berkaitan taranum dikendalikan oleh Othman Azumi Ahmad yang merupakan bekas johan qari tilawah negeri Kedah yang juga Pensyarah di Institut Perguruan Darul Aman (IPDA) Alor Setar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak, termasuk beberapa orang pensyarah, Haroon Awang, Suhaida Abu Bakar serta pembantu teknikal dan multimedia, Abd. Razak Md. Noor kerana banyak membantu bagi menjayakan kursus yang berlangsung kira-kira dua bulan itu.
Rektor UiTM Kampus Kedah, Prof. Madya Dr. Shaiful Annuar Khalid ketika menutup kursus itu berkata, usaha dilakukan ini amat baik sekali kerana ia memberi peluang kepada kakitangan UiTM sendiri untuk mempelajari taranum al-Quran dengan lebih baik lagi.
Menurutnya, hanya mereka yang sentiasa prihatin akan berjaya dalam bidang tersebut.
“Program seumpama ini perlu diperluaskan kerana dapat membantu mereka yang membaca al-Quran dengan penuh khusyuk selepas ini.
“Mereka yang ada ilmu mengenainya tentu lebih mudah untuk membaca dengan taranum dan tajwid al-Quran yang betul,” katanya.
Sementara itu seorang peserta, Norlyton Daud, 35, dari Masjid Kuning, Sungai Layar berkata, langkah diambil oleh pihak berkenaan bagi menganjurkan kursus itu amat baik kerana membantu mereka dalam memperelokkan bacaan masing-masing.











