MENANTI HARGA BARANGAN TURUN - Utusan Malaysia

MENANTI HARGA BARANGAN TURUN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MULAI Jumaat ini, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berkadar sifar. GST yang diperkenalkan sejak 1 April 2015 dikatakan sebagai antara faktor kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Kenaikan harga barangan dan per­khidmatan memberi kesan terhadap peningkatan kos sara hidup rakyat negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ada berpendapat  GST bukanlah satu-satunya faktor yang  menaikkan   harga   barangan   dan perkhidmatan.  Banyak lagi faktor yang menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan seperti penurunan nilai mata Ringgit  Malaysia (RM) berban­ding dolar Amerika Syarikat (AS).   

Tidak kurang juga harga barangan dan perkhidmatan ditentukan oleh permintaan dan penawaran dalam pasaran terbuka seperti Malaysia. Namun, di sebalik  faktor-faktor ini, sering  kali semasa  musim  perayaan, harga barangan dan perkhidmatan akan meningkat tinggi.

Misalnya, pada masa ini ketika bulan Ramadan menjelang Hari Raya Aidilfitri, peningkatan harga barangan terutamanya makanan tidak boleh disangkal lagi. Benarkah ada faktor-faktor lain se­perti harga barangan sengaja dinaikkan semasa musim perayaan?

Mungkinkah ada pihak yang sengaja mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan ketika umat Islam sedang sibuk mengerjakan ibadah puasa sehinggalah meraikan hari kemenangan pada Hari Raya Aidilfitri?

Cakap-cakap seperti ini selalu sahaja berlaku setiap kali bulan Ramadan. Namun, sehingga ke hari ini, tiada langkah yang benar-benar konkrit untuk memastikan harga barangan tidak   me­ningkat   dengan keterlaluan. 

Pada kebiasaannya pada bulan Ramadan, umat Islam akan membuat persiapan bukan sahaja untuk mengerjakan ibadah puasa dengan sebaik mungkin  tetapi   juga persiapan hari raya yang akan menjelang tiba.

Umum mengetahui untuk membuat persiapan  bagi me­raikan Hari Raya Aidilfitri, sudah tentulah memerlukan  komitmen  untuk  membeli  pelbagai  ba­rangan.   Misalnya, persiapan membeli kuih-muih dan pakaian bukan setakat untuk diri sendiri tetapi buat keluarga. Tidak kurang juga, persiapan balik ke kampung, memerlukan perbelanjaan besar seperti penyelenggaraan kenderaan, tol dan minyak.

Dengan kata lain sudah menjadi kebiasaan, umat Islam memerlukan komitmen perbelanjaan yang lebih tinggi ketika musim ini. Sebab itulah ketika musim   ini,   pelbagai   tawaran   diberikan   kepada   umat   Islam   oleh   peniaga   yang   lebih   ke   arah   untuk berbelanja lebih.

Maka,  ada yang sanggup untuk membuat komitmen hutang demi memastikan mereka dapat meraikan hari lebaran dengan semeriah mungkin. Sememangnya  sebagai umat  Islam kita  dituntut  untuk berbelanja  secara berhemah  ketika  musim ini. Tiada pembaziran dan tiada juga pemborosan. Ber­belanja sekadar dalam lingkungan kemampuan sendiri.

Bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Usahlah sampai biar papa asal bergaya. Sanggup berhutang keliling pinggang sehingga akhirnya memudaratkan diri sendiri kelak. Tidak mampu membayar kembali hutang tersebut sampaikan memberi tekanan kepada diri dan keluarga. Banyak lagi bulan yang terpaksa diharungi dalam setahun. Hidup perlu diteruskan dengan lebih baik selepas musim perayaan.

 Namun, tatkala kita berusaha sedaya upaya untuk menjalani kehidupan secara bersederhana, kita masih tidak boleh elak menghadapi kos sara hidup yang cukup tinggi pada masa kini. Rakyat sebenarnya sudah begitu lama berhadapan dengan isu ini.

Tidak diketahui bilakah isu ini akan berakhir seolah-olah masih belum   nampak   sebarang   jalan   penyelesaian   untuk memastikan rakyat hidup dalam keadaan selesa.

Mencari   punca   dan   mengambil   tindakan   pembetulan   adalah   jalan   terbaik.   Namun,   sekali   lagi   tidak diketahui sejauh manakah tindakan telah dilaksanakan secara benar-benar berkesan. Misalnya,  dari  segi  penguatkuasaan.   Adakah   tindakan   penguatkuasaan  menggerunkan  peniaga sehingga mereka meletakkan harga barangan secara berpatutan? Kita bukan sekadar bercakap tentang peniaga akhir yang rata-ratanya berniaga secara kecil-kecilan. Kita  perlu  bercakap  mengenai rantaian bermulanya jualan sesuatu   produk   tersebut.  Mereka   yang  terlibat  dalam   pengeluaran  dan seterusnya memasarkan kepada pengguna juga perlu dilakukan  penguatkuasaan secara berkesan.

Hal  ini berlaku kerana harga barangan akan  diletakkan   pada   harga   yang   lebih   tinggi   oleh  peniaga   akhir  yang  akan menjual kepada pengguna bagi memperoleh  keuntungan. Tidak boleh salahkan mereka semata-mata kerana harga yang dibeli oleh mereka daripada peniaga lain pun sudah tinggi maka sudah tentulah  terpaksa menjual dengan harga yang lebih tinggi. Inilah yang perlu dilihat secara menyeluruh  bagi   membolehkan   tiada   pihak   bermaharajalela berkuasa meletakkan harga  sesuatu  produk.  Lebih-lebih lagi dalam  situasi sesuatu produk yang dikeluarkan dan dipasarkan  adalah produk yang  dimonopoli oleh mereka.   

Maka, sudah tentulah mereka ini boleh sahaja meletakkan harga sesuka hati. Pada masa sama, pelbagai alasan diberikan untuk merasionalkan harga produk tersebut. Rakyat dihidangkan de­ngan pelbagai alasan seolah-olah sudah menjadi sebati dalam kehidupan mereka. Justeru, dalam hal ini, rakyat benar-benar mengharapkan isu harga barangan yang semakin mahal ini ditangani dengan berkesan.

Tidak ramai yang berpendapatan tinggi. Yang ramai berpendapatan sederhana dan rendah. Maka, biarlah  harga  barangan  mahupun  perkhidmatan  setimpal dengan  kehidupan  mereka.  Lebih-lebih lagi selepas GST berkadar sifar, rakyat menantikan harga barangan mengalami penurunan bersesuaian dengan taraf hidup dan pendapatan majoriti rakyat Malaysia.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini