PETALING JAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia perlu membayar pampasan RM500 juta atas pembatalan perjanjian membina Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Perdana menteri berkata, keputusan itu diambil kerana projek berkenaan tidak memberi manfaat kepada negara.
“Itu (keputusan menamatkan projek) adalah keputusan akhir. Kita ada perjanjian dengan Singapura, saya diberitahu RM500 juta, saya perlu jelaskan di sini, ia tidak beri manfaat.
“Tidak ada keuntungan dari projek itu. Ia hanyalah trek yang pendek sahaja. Kita perlu cakap dengan Singapura tentang hasrat kita untuk membatalkan projek tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PPBM dekat sini, semalam.
Turut hadir Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Terdahulu, Dr Mahathir dalam wawancara dengan Financial Times berkata, kerajaan akan membatalkan projek HSR bernilai RM100 bilion kerana tidak memberi pulangan kepada negara.
Perkhidmatan kereta api yang dijangka beroperasi pada 31 Disember 2026 itu mampu mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan kereta api lebih 300 kilometer (km) sejam.
Projek sepanjang 350 km itu merangkumi lapan stesen, iaitu Bandar Malaysia , Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh di Melaka serta Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri di Johor dan stesen Jurong East di Singapura.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir mengesahkan kerajaan Pakatan Harapan akan memberi bonus sempena Hari Raya Aidilfitri kepada kakitangan awam.
Bagaimanapun, beliau berkata jumlah bonus tersebut masih belum dimuktamadkan.
“Ya, kita akan bagi bonus, banyak mana tidak tahu lagi,” jelasnya. – K! ONLINE











