Zakat berpotensi mengangkat maruah umat Islam - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Zakat berpotensi mengangkat maruah umat Islam – Raja Muda Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Mei – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa ibadah zakat berpotensi untuk mengangkat maruah umat Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tema zakat mengangkat maruah harus dihayati oleh pemberi zakat (muzakki), pengagih zakat (amilin), malahan penerima zakat (asnaf),” titah baginda.

Baginda yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah demikian selepas berkenan berangkat menerima sembah mengadap oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KAF Investment Bank Berhad, Thariq Usman Ahmad di Bilik Kenamaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah hari tadi.

Di majlis tersebut Thariq mempersembahkan sumbangan zakat perniagaan KAF Investment Bank Berhad bagi tahun perniagaan 31 Mei 2017 yang lalu berjumlah RM702,000 yang diterima oleh baginda bagi pihak MAIPs untuk diagihkan kepada para asnaf yang layak.

Keberangkatan baginda disambut oleh Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut hadir ialah Pengasas Tuas Capital Partners, Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail.

Tambah baginda lagi, agihan zakat atau apa jua bantuan hendaklah dilihat meninggikan maruah penerima. 

“Asnaf penerima bantuan, hendaklah sentiasa dijaga maruahnya, bahkan inilah yang akan meninggikan maruah mereka yang menguruskan agihan zakat, dan begitu juga mereka yang mengeluarkan zakat.

“Memberi secara bermaruah, agihan yang mengangkat maruah, serta usaha asnaf meninggikan maruah diri akan menjadi pemangkin kepada pembinaan bangsa yang bermaruah, Insya-Allah,” menurut baginda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini