BESUT – Seorang pelajar golongan orang kelainan upaya (OKU) masalah pembelajaran sebuah sekolah menengah di Besut cedera parah pada bahagian tangan kanan selepas bermain mercun bola di Kampung Taman Tasik, Kuala Besut dekat sini semalam.
Muhammad Ridzwan Abdul Rashid, 14, yang hancur tiga jari kanannya iaitu ibu jari, telunjuk dan jari hantu dalam kejadian pada pukul 8 malam itu dipercayai merupakan mangsa mercun buatan sendiri pertama pada bulan Ramadan tahun ini.
Abang mangsa, Azlan Shah, 34, berkata, sewaktu kejadian, adik bongsu daripada lapan beradik sedang bermain mercun bola tersebut bersama kira-kira 10 rakannya di kawasan padang tidak jauh dari rumah mereka.
“Saya difahamkan adik saya (Muhammad Ridzwan) membuka beberapa biji mercun bola sebelum mengisi belerangnya ke dalam botol kaca berukuran kira-kira 10 sentimeter panjang dengan menggunakan kertas surat khabar dan straw minuman.
“Dia kemudiannya memasukkan sumbu ke dalam botol terbabit sebelum mencucuhnya dengan api namun ia meletup di tangannya sebelum sempat dilemparkan,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Taman Tasik, Kuala Besut dekat sini hari ini. – K! ONLINE











