Industri penerbangan Malaysia dijangka berkembang 6.5-7.0 peratus - Utusan Malaysia

Industri penerbangan Malaysia dijangka berkembang 6.5-7.0 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR –  Suruhanjaya  Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yakin momentum pertumbuhan industri penerbangan yang positif akan berterusan pada 2018 dengan perkembangannya disasarkan pada 6.5-7.0 peratus, sekali gus menyaksikan Malaysia melepasi paras 100 juta penumpang untuk pertama kali.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam Laporan Industri dwitahunan Waypoint  2018, MAVCOM menyifatkan 2017 sebagai tahun prestasi yang kukuh bagi industri ini berbanding 2016 dengan kadar aliran penumpang Malaysia mencatat pertumbuhan tahun ke tahun pada 8.1 peratus atau menyamai 99.1 juta penumpang antarabangsa dan domestik.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya itu, Tan Sri Abdullah Ahmad berkata, secara keseluruhan, industri penerbangan berada di landasan tepat untuk mencatat pertumbuhan walaupun dalam persekitaran mencabar, margin yang lebih kecil serta kenaikan harga minyak.

“Tempoh dua tahun lepas adalah kukuh jika dilihat dari sudut industri ini sebagaimana dibuktikan menerusi pertumbuhan jumlah aliran penumpang, keberuntungan operasi industri dan modal pasaran syarikat penerbangan yang disenarai awam dalam tempoh terbabit berbanding sebelum ini.

“Cabaran itu akan terus ada namun MAVCOM optimis prestasi industri yang positif dalam tahun-tahun sebelumnya akan berterusan pada 2018,” katanya.

Menurut Laporan Waypoint itu, syarikat penerbangan Malaysia turut menyaksikan peningkatan Perolehan Tempat Duduk Tersedia Bagi Setiap Kilometer (RASK) pada kadar lebih tinggi berbanding Kos Tempat Duduk Tersedia Bagi Setiap Kilometer (CASK).

Bagi tempoh 2014 dan 2017, termasuk kerugian operasi RM0.5 bilion pada 2014, industri penerbangan itu sebaliknya mencatat pemulihan ketara apabila keuntungan operasinya menokok kepada RM1.6 bilion pada 2017.

Bagaimanapun, kata MAVCOM, harga minyak dijangka meningkat antara 8.5 peratus dan 10.3 peratus pada 2018 bagi tahun ke tahun berbanding unjuran oleh agensi antarabangsa termasuk Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Malah, faktor itu dijangka memberi tekanan kepada keuntungan syarikat penerbangan yang sememangnya sensitif terhadap persekitaran tambang rendah yang serba kompetitif.

Menurut laporan itu, kesalinghubungan udara Malaysia pada 2017 turut meningkat dengan penambahan lapan destinasi antarabangsa dan kira-kira 360,000 tempat duduk.

Rantau Asia akan terus menjadi wilayah utama tumpuan kesalinghubungan Malaysia iaitu menerusi 59.8 peratus pemberian hak trafik udara oleh MAVCOM kepada syarikat penerbangan tempatan pada 2017 membabitkan laluan ke ASEAN, China dan India.

Selain itu, 56.4 peratus lapangan terbang yang menghubungkan Malaysia adalah terletak dalam kawasan Asia-Pasifik yang menumpukan kepada perkhidmatan destinasi laluan pendek dan sederhana di rantau ini.

Laporan itu turut mengetengahkan bahawa pengendali perkhidmatan bukan berjadual komersial secara menyeluruh mencatat peningkatan margin keuntungan operasi daripada 10.4 peratus pada 2016 kepada 16.7 peratus pada 2017.

Namun, prestasi kewangan segmen kecil secara individu adalah bercampur-campur dengan hanya satu tugasan udara (pembenihan awan dan pemetaan), minyak dan gas dan perkhidmatan sewa penerbangan yang terbukti menguntungkan.

Merujuk kesalinghubungan, Suruhanjaya itu berkata dari segi penumpang satu destinasi ke lainnya, Malaysia di kedudukan keempat bagi negara paling banyak dihubungkan di ASEAN selepas Thailand, Singapura dan Indonesia.

Ini berikutan Indonesia, Singapura dan Thailand memiliki hubungan paling tinggi ke lapangan terbang dengan perkongsian aliran trafik antarabangsa sama ada dalam atau melangkaui Asia-Pasifik selain faktor Singapura dan Thailand yang dihubungkan ke lebih banyak destinasi serta memiliki jumlah tempat duduk lebih besar di lokasi itu berbanding Malaysia.

Bagi aspek pergerakan penumpang yang perlu ke destinasi seterusnya, MAVCOM berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) muncul hab lapangan terbang kedua terbesar di ASEAN selepas Lapangan Terbang Changi, Singapura (SIN).

Setakat 2017, KUL merupakan hab antarabangsa untuk penumpang ke destinasi berikutnya di Asia iaitu antara China, India, Thailand dan Indonesia.

Perkembangan itu ternyata membuktikan peralihan KUL berbanding pada 2010 apabila ia mengendalikan penumpang ke destinasi antara Australia, Eropah dan Asia Tenggara, katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini