IPOH 28 Mei – Polis telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menceroboh masuk ke sebuah kedai serbaneka di Manjoi di sini Khamis lalu kerana mendakwa terdapat penjualan minuman keras.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, siasatan kes berkenaan dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.
Katanya, kesemua yang terlibat dalam kejadian itu akan dipanggil untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan.
“Sebaik sahaja kertas siasatan itu dilengkapkan, ia akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk mendapatkan nasihat dan pandangan.
“Selain itu, kita turut menerima tiga laporan polis yang dibuat pekerja kedai serbaneka berkenaan berhubung kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian Khamis lalu kira-kira pukul 4.15 petang, sekumpulan lelaki yang mendakwa daripada sebuah NGO dan beberapa penduduk kampung telah menyerbu ke kedai serbaneka tersebut kerana mendakwa terdapat penjualan minuman keras.
Menurut mereka, teguran telah diberikan kepada pihak pengurusan kedai tersebut sebelum ini untuk tidak menjual minuman keras di premis itu kerana majoriti penduduk di kawasan berkenaan adalah orang Melayu yang beragama Islam. – UTUSAN ONLINE











