Pemandu bas didenda RM500 dera anjing peliharaan sendiri - Utusan Malaysia

Pemandu bas didenda RM500 dera anjing peliharaan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Tindakan seorang pemandu bas yang melakukan penderaan terhadap seekor anjing jenis Rottweiler peliharaanya di hadapan sebuah rumah di Taman Mount Austin di sini tahun lalu mengundang padah apabila dia dijatuhi hukuman denda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Majistret Nur Sulehan Abd. Rahman memutuskan demikian setelah tertuduh, Goh Jin Fong, 52, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Jin Fong didakwa dengan sewenang-wenangnya dan tanpa sebab telah melakukan sesuatu tindakan yang menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak wajar kepada haiwan tersebut yang berwarna hitam dan coklat.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di dalam sangkar di hadapan rumah No. 76, Jalan Mutiara Emas 2/7 Taman Mount Austin di sini pada 22 Ogos 2017.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) Akta 647 dan dibacakan bersama Akta Binatang 2013 (Akta A1452) dan boleh dihukum di bawah Sekysen 44(1) Akta yang sama memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 dan penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya Jabatan Veterinar, Mohd. Faiz Ajis manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Difahamkan, Jin Fong bertindak mengikat pemberat pada leher anjingnya sehingga mengakibatkan haiwan tersebut mengalami kecederaan.

Terdahulu, tertuduh memohon mahkamah mengurangkan denda kerana dengan alasan mempunyai tanggungan serta mengaku menyayangi anjing peliharaannya.

Nur Sulehan kemudian menjatuhkan hukuman denda itu dan mengarahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Jin Fong membayar denda tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN