KANGAR 28 Mei – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) iaitu antara yang tidak hadir pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah Pelantikan Menteri Besar di Istana Arau pada 24 Mei lalu, memberi jaminan kemelut yang berlaku itu akan diselesaikan dengan baik dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.
ADUN Pauh, Rozieana Ahmad berkata, beliau meminta agar semua pihak memberi mereka sedikit masa untuk menyelesaikan kemelut berkenaan dan apa yang pasti akan ada kata sepakat daripada kesemua sembilan wakil rakyat BN mengenai isu tersebut tidak lama lagi.
Dalam masa sama, Rozieana juga meminta seluruh rakyat supaya berdoa perkara yang baik untuk kesejahteraan negeri ini.
“Sikit lagi akan selesai kemelut ini. Kami semua tidak pernah ada niat sama sekali untuk menyebabkan Raja Perlis murka dalam soal tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, ADUN Beseri, Ruzaini Rais akur dengan keputusan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail melantik Datuk Seri Azlan Man, sebagai Menteri Besar.
Sehari sebelum itu, ADUN Kayang, Hamizan Hassan juga berpendirian sama apabila memaklumkan beliau menjunjung titah baginda dalam soal pelantikan Menteri Besar.
Isu pelantikan Menteri Besar Perlis mendapat perhatian meluas media-media massa kerana sebaik sahaja Azlan diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan nombor satu negeri itu, ADUN Bintong tersebut dipecat keahliannya daripada Umno.
Pemecatan itu diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengadakan sidang akhbar di ibu negara bersama kesemua sembilan wakil rakyat BN.
Berikutan itu, istiadat pelantikan Menteri Besar pada masa sama berlangsung dalam keadaan kurang sempurna kerana tidak dihadiri oleh seorang pun wakil rakyat daripada BN yang dipercayai memulaukan Azlan.
BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sementara itu, ADUN Titi Tinggi, Teh Chai Aan pula enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan sebaliknya memberi jaminan perkara itu akan dapat diselesaikan dengan baik dalam tempoh dua atau tiga hari lagi. – UTUSAN ONLINE











