BATU PAHAT 28 Mei – Dua wanita parah, manakala dua lagi cedera ringan apabila sebuah pacuan empat roda dipercayai merempuh mereka di hadapan sebuah gerai burger berdekatan Bazar Aidilfitri di Jalan Mohd. Salleh, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, mangsa yang parah ialah Nurfarahim Elias, 28, dari Parit Haji Sidek, manakala seorang lagi wanita berusia 25 tahun sedang dikesan identitinya berikutan tidak membawa pengenalan diri.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, dua lagi wanita yang cedera ringan pula ialah Marziana Mokhtar, 37, dan Nur Azirah Ghazali, 24.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu pacuan empat roda yang dipercayai mabuk itu tiba-tiba hilang kawalan dan masuk ke sebelah kanan jalan sebelum merempuh empat wanita berdekatan gerai burger.
“Pemandu lelaki berusia 33 tahun turut cedera ringan dan berlaku sedikit kekecohan antara orang ramai dengan pemandu itu apabila beberapa pengunjung mahu membelasahnya tetapi berjaya dihalang orang ramai,” katanya di sini sebentar tadi.
Abdul Wahib berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











