Syarikat pembinaan didenda kali kedua biak aedes - Utusan Malaysia

Syarikat pembinaan didenda kali kedua biak aedes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Mei – Sebuah syarikat projek pembinaan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana membiak nyamuk aedes di sebuah kawasan tapak pembinaan, dua tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman denda itu terhadap syarikat Kenwingston Sdn. Bhd. yang diwakili pengurus pegawai keselamatan projeknya, Muhammad Haidhar Mohd. Hazlan, 27, selaku orang kena saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah turut memerintahkan OKS untuk menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu. OKS membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu telah didakwa menimbulkan satu keadaan yang boleh membiakkan dan memberi perlindungan kepada larva nyamuk Aedes Aegypti iaitu sejenis serangga pembawa penyakit di dalam lopak air di kawasan tapak bina Jalan 33/26, Seksyen 10, Wangsa Maju di sini pada pukul 10.30 pagi, 20 Oktober 2016.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 13(1) dibaca bersama Seksyen 13(2) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan 2000) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 23(b) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Shumizan Siron daripada Pejabat Kesihatan Titiwangsa memohon hukuman berat mengambil kira peningkatan kes demam denggi di tapak pembinaan berkenaan kerana berdekatan dengan perumahan.

“OKS juga mempunyai rekod lampau dan pernah didenda RM5,500 oleh mahkamah sama pada Jun 2016 atas kesalahan sama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini