KIEV, Ukraine – Real Madrid melakar sejarah tersendiri apabila menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Liverpool 3-1 pada aksi final di Stadium Olimpik di sini awal pagi semalam.
Kejayaan itu juga turut menyaksikan Real menjadi pasukan paling berjaya dalam sejarah Liga Juara-Juara apabila memenanginya sebanyak 13 kali.
Jurulatih Real, Zinedine Zidane tanpa berselindung mengakui gembira serta bangga apabila menjadi sebahagian daripada sejarah tersebut.
“Real merupakan sebuah pasukan yang boleh dianggap sebagai legenda. Inilah merupakan satu-satunya pasukan yang sudah memenangi trofi Liga Juara-Juara sebanyak 13 kali dan saya bangga untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini.
“Sudah tentu saya gembira dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain-pemain, jadi kami mahu nikmati kemenangan ini terlebih dahulu. Itulah yang paling penting untuk kami sekarang,” kata Zidane.
Dalam pada itu, pemain tengah Real, Luka Modric menegaskan, pencapaian yang dilakukan mereka pastinya sukar untuk dileburkan pasukan-pasukan lain pada masa akan datang.
Pada perlawanan semalam, pemain sayap The Galacticos, Gareth Bale meledak dua gol, manakala satu gol lagi dijaringkan Karim Benzema. Liverpool memperoleh gol tunggal menerusi Sadio Mane. – Agensi











