TFC I gah tundukkan Melaka United - Utusan Malaysia

TFC I gah tundukkan Melaka United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERAKSI pada bulan Ramadan selain kepenatan akibat tidak cukup rehat bukan penghalang buat pasukan Terengganu Football Club I (TFC I) mengutip tiga mata penuh di laman sendiri selepas me­nundukkan Melaka United 1-0 pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, para pemainnya masih meneruskan rentak permainan yang baik sehingga tamat 90 minit masa perlawanan walaupun kelihatan begitu letih.

“TFC I pamer aksi yang baik de­ngan mencapai kemenangan kali ketiga berturut-turut. Saya akui mereka bermain dalam keadaan letih kerana tidak cukup rehat selepas menentang Perak Selasa lalu, namun mereka masih boleh bertahan sehingga tamat perlawanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya turut beri pujian kepada mereka kerana tidak berputus asa untuk terus mencari jaringan dan kemasukan Mohamad Ashari Samsudin akhirnya dapat memecahkan kebuntuan TFC I,” katanya ketika ditemui pemberita kelmarin.

Pada perlawanan itu, skuad Penyu berjaya memungut tiga mata selepas menewaskan Melaka United dengan jaringan tunggal pada minit ke-60 yang dihasilkan Mohamad Ashari selepas tujuh minit dia dimasukkan bagi menggantikan Abdul Malik Mat Ariff.

Dalam pada itu, Irfan Bakti berkata, ketiadaan pemain tengah TFC I, Lee Andrew Tuck yang digantung satu perlawanan selepas menerima kad kuning ketiganya musim ini ketika menundukkan Perak 2-0 sedikit sebanyak menjejaskan rentak perlawanan.

“Ketiadaan Lee Tuck memberi kesan kepada pasukan kerana dia sentiasa berani melakukan percubaan ke arah gol lawan, namun atas dasar kesabaran tinggi, pemain dapat me­nemui satu gol berharga,” ujarnya.

Mengulas lanjut, jurulatih berpe­ngalaman itu berkata, jarak enam hari sebelum pertemuan seterusnya dengan Kuala Lumpur akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk me­lakukan persediaan rapi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN