Peluang Salah belum tertutup - Utusan Malaysia

Peluang Salah belum tertutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH, Mesir – Persatuan Bola Sepak Mesir (EFA) akhirnya berjaya meredakan kegusaran para peminat bola sepak negara itu berhubungan kecederaan bintang sensasi mereka, Mohamed Salah yang dilihat berdepan kecederaan ketika beraksi pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Menurut EFA, hasil pemeriksaan awal mendapati kecede­raan dialami Salah tidak terlalu serius seperti yang dijangkakan dan dia mungkin masih berpeluang untuk membantu Mesir pada saingan Piala Dunia di Rusia bulan depan.

Penyerang Liverpool tersebut terpaksa dibawa keluar pada separuh masa pertama ketika mereka tewas 1-3 kepada Real Madrid selepas mengalami kece­deraan bahu akibat terjatuh ketika bersaing untuk mendapatkan bola dengan pemain pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdahulu, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp membuat kenyataan bahawa pemain berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan yang agak serius dan merasakan harapannya beraksi di Piala Dunia adalah tipis.

“Dia mengalami kecederaan yang serius sama ada pada bahagian tulang se­langka atau bahu.

“Kami telah kehilangan pemain yang penting dan ia juga turut dirasai oleh skuad Mesir tetapi saya tetap mengharapkan perkara ini tidak akan terjadi kepada Salah,” kata Klopp.

Bagaimanapun, EFA kemudiannya memuat naik status pada laman Twitter rasminya mengatakan doktor pasukan itu telah berhubung dengan pegawai perubatan di Liverpool yang mengesahkan ujian imbasan menunjukkan dia hanya mengalami kerosakan ligamen dan bukannya patah.

Sementara itu, Mesir kini optimis dengan menjadikan Salah sebagai prospek utama mereka untuk berentap pada aksi pertama mereka berdepan Uruguay pada 15 Jun bagi perlawanan kumpulan A. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini