UMNO PERLU BERSIH - Utusan Malaysia

UMNO PERLU BERSIH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH Barisan Nasional (BN) tumbang 9 Mei lepas, sindrom lompat parti yang dahulunya orang UMNO hanya de­ngar berlaku di Sabah kini berjangkit pula ke Semenanjung.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bila kena pada batang hidung sendiri, ia amat menjengkelkan. Kalau ikut kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, mereka ini macam ‘tikus’.

“Apabila kapal pecah, bertempiaranlah tikus lari menyelamatkan diri. Situasi seperti ini bagus juga kerana kita tak mahu tikus ini ada lagi dalam UMNO, kita mahu pejuang yang setia.

“Kita mahu orang yang masuk UMNO bukan kerana mengejar peluang,” kata bekas Menteri Besar itu yang turut membidas beberapa ketua UMNO bahagian di negeri berkenaan yang mendesaknya meletak jawatan setelah Negeri Sembilan turut tenggelam dalam tsunami rakyat, 9 Mei lalu.

Langkah pembersihan dalam UMNO amat diperlukan meskipun parti mungkin kehilangan ahli. Biar yang tinggal ini benar-benar atas perjuangan parti. Hakikatnya UMNO boleh bangkit semula.

Lima tahun bukannya tempoh yang lama.

Apabila Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi mandat kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk me­rangka cadangan bagi menstruktur semula parti untuk bangkit semula, itu bukan bermakna menye­rahkan kepe­mimpinan par­ti bulat-bulat kepada orang muda.

Orang muda pun ada kelemahannya juga. Kalau dilihat sebilangan Exco Pemuda sedia ada pun ramai yang tidak perform. Yang nampak kelihatan hanya sekelumit, bagai rembulan yang sesekali muncul ditunggu-tunggu pasangan kekasih. Maka orang muda, khususnya Khairy diberi kepercayaan untuk menolong di sebalik tabir dalam menginjakkan kembali parti.

Dan keterlibatan Ahmad Zahid diperlukan, paling kurangkan pun untuk tempoh peralihan tiga tahun pertama ini.

UMNO perlu berfikir seperti pembangkang yang lepas. Segera jenamakan semula parti. Berfikir sebagai bukan lagi kerajaan. Buangkan nostalgia.

Move forward atau kata anak muda hari ini ‘jalan terus’. Jangan masih dibuai mimpi.

Untuk proses pembersihan parti, UMNO perlukan ahli parti yang setia.

Perginya Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Abd. Muhaimin Abd. Rahman Nazri menyertai Pakatan Harapan bagus untuk membuang gunting dalam lipatan.

Demikian juga dengan kelibat-kelibat seperti dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang pantas menjadi katak se­perti bekas Exco Kerajaan Perak yang juga ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Tidak ketinggalan ‘mengejar kuasa’ ini dua lagi timbalan ketua UMNO bahagian dari Pe­rak iaitu Datuk Naziruddin Bandi (Teluk Intan) dan Datuk Kamarul Rashdan Salleh (Tanjung Malim), selain Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tapah, Pazli Abdullah.

Harap-harap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengotakan janji beliau untuk tidak beri muka kepada ge­rombolan si kitul ini.

Apa yang penulis dapat simpulkan daripada tindak tanduk ‘tikus’ yang disebut Mohamad itu adalah tentang hikmah bagaimana Allah SWT sedang memberi peringatan kepada ahli-ahli UM­NO.

Yakni, selama ini lalai dengan kurniaan kese­le­saan yang Dia berikan.

Allah ‘ketuk’ sedikit sahaja supaya ahli dan pemimpin parti sedar.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 26:”Katakanlah (wahai Muhammad):“Wahai Rabb Yang mempunyai kerajaan, Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hina orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Renung dan hayatilah ayat di atas, yang sebelum ini begitu ‘sakitnya mata’ menyaksikan perebutan jawatan, projek serta lari daripada landasan perjua­ngan sebenar untuk mengejar kepentingan peribadi, lebih untuk mengayakan diri sendiri.

Boleh diteladani perjuangan Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah negara Jepun sejak 1955 tapi kecundang pada pilihan raya umum 30 Ogos 2009 kepada Parti Demokratik Jepun (DPJ).

Perdana Menteri Jepun pada masa itu, Taro Aso mengaku kalah dan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden parti LDP. Pada masa itu, DPJ menang 308 kerusi daripada keseluruhan 480 kerusi Dewan Perwakilan de­ngan LDP hanya menang 119 kerusi.

Selepas tiga tahun, parti LDP bangkit semula dan kembali berkuasa apabila memenangi pilihan raya negara itu.

Majoritinya besar iaitu beza 189 kerusi antara LDP dan DPJ. Berbanding BN (78) dengan PH (125 kerusi), beza cuma 47 kerusi sahaja.

Daripada 119 kerusi, LDP menang sehingga 300 kerusi. Bermakna LDP gunakan strategi yang betul untuk tawan kembali hati rakyat Jepun.

UMNO juga mesti ambil iktibar Parti Golongan Karya (Golkar) di Indonesia. Pada pilihan raya 1971 iaitu pilihan raya pertama dalam pemerintahan Presiden Suharto, Golkar menang dan kejayaan itu diteruskan pada pilihan raya 1977, 1982, 1987, 1992 dan 1997 sehingga mampu mentadbir Indonesia selama 32 tahun.

Bagaimanapun sejak reformasi politik pada 1998 dan apabila kepimpinan parti bertukar ta­ngan, Golkar menghadapi krisis politik berterusan yang teruk dan masih belum mampu bangkit sebagaimana Golkar yang dahulu.

Hakikatnya, UMNO harus berpijak di bumi nyata. UMNO perlukan gabungan pemimpin lama dan baharu yang komited. Dan tolonglah cari pemimpin yang bukan sahaja kelihatan bersih tetapi benar-benar bersih, yang tidak terpalit dengan skandal dan isu.

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini