ROM 27 Mei – Seorang bayi lelaki selamat dilahirkan di atas sebuah kapal penyelamat di Laut Mediterranean selepas ibunya yang merupakan seorang pelarian berjaya diselamatkan ketika cuba menyeberangi sempadan Libya, semalam.
Pertubuhan bukan kerajaan, SOS Mediterranee memaklumkan, ironinya bayi itu dinamakan sebagai Miracle selepas dilahirkan di atas Kapal Aquarius, sebuah kapal yang disewa kumpulan itu bagi tujuan menyelamat di Laut Mediterranean.
“Berita gembira dari #Aquarius petang ini dengan kelahiran seorang bayi lelaki yang sihat!.
“Bayi Miracle dilahirkan pada pukul 3.45 petang waktu tempatan dengan berat 2.8 kilogram, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang diselamatkan kepada 70 orang,” jelas SOS Mediterranee di akaun Twitter mereka.
Kata kumpulan itu, bayi dan ibu yang kewarganegaraannya masih lagi tidak diketahui berada dalam keadaan sihat dan dijangka tiba di Pelabuhan Catania di Sicily hari ini.
Miracle adalah bayi ke-36 dilahirkan di atas kapal yang membuat rondaan di Laut Mediterranean bagi menjalankan misi menyelamat pendatang yang cuba masuk ke Eropah bagi mencari hidup yang lebih baik.
Sementara itu, Pengawal Pantai Itali berkata, hampir 1,500 pendatang berjaya diselamatkan pada Khamis dan Jumaat lalu.
Mangsa yang terselamat itu adalah sebagai tambahan kepada 10,800 pelarian baharu yang sudah berdaftar di Itali sejak awal tahun ini. – AFP











