Kali ini penulis berkesempatan untuk menguji Perodua Myvi 1.5L High iaitu boleh disifatkan kasta kedua selepas 1,5L Advance. Secara puratanya kedua-dua model itu sama cuma berbeza kerana model High tidak dilengkapi Advance Safety Assist (ASA), solar & security window film dan kamera undur.
Tetapi walaupun ada kekurangan, model H yang diuji ini ada kelebihannya kerana ia model yang mendapat sentuhan ‘kosmetik’ GearUp sepenuhnya. Ini menjadikan Myvi 1.5L High yang sporty menjadi lebih ‘kacak dan cantik.’
Bentuk luarannya disolek dengan hiasan krom pada cermin sisi dan jeriji berkrom pada bampar hadapan. Tingkap juga dihiasi jalur krom dan begitu juga dengan jalur berkrom pada sisi pintu.
Di sebelah belakang pula, pintu bonet dihiasi jalur berkrom perak yang melintang di antara lampu utama. Bampar belakang juga turut dihiasi jalur perak dengan skirt tambahan.
Kusyen dipasang dengan hiasan fabrik Lux Velvet jenis material PVC yang mudah dibersihkan, lembut tetapi lasak. Kelihatan anggun sebenarnya.
Bukan itu sahaja, model 1.5L High ini dipasang pula dengan pelindung cermin dan pelapik kaki bergelung yang berkesan memerangkap habuk dan kotoran. Bonet belakang disertakan pelapik bagasi yang mampu memerangkap kotoran dan menahan beg daripada tergelincir.
Jadi, kosmetik GearUp ini menjadikan fizikalnya agak menonjol berbanding jenis Myvi 1.5L High yang biasa. Malah sepintas lalu kosmetik ini mampu menjadikannya lebih sporty, unik dan canggih tanpa solekan yang berlebih-lebih.
Dari segi pemanduannya pula, ia agak selesa walaupun terasa ringan pada kelajuan yang agak tinggi dengan gaya pemanduan yang radikal.
Ya, ruang kabinnya agak senyap pada kelajuan 80 kilometer sejam (km/j) ke bawah dan penggunaan tayar yang sesuai iaitu 185/55 rim aloi 15 inci sedikit sebanyak membantu untuk lebih selesa dan stabil di jalan raya.
Kuasa maksimum 76kW @ 6000rpm pada enjin jenis 2NR-VE, 4 silinder DOHC Dual VVT-i banyak membantu menggerakkan jentera ini. Jika model 1.5L Advance penulis sempat memecut sehingga 180 km/j, tetapi untuk 1.5L High penulis lebih sukakan pemanduan santai dengan kelajuan maksimum sehingga 160 km/j.
Model ini juga dilengkapi dengan Eco Idle System iaitu sistem yang mematikan enjin ketika berhenti tanpa mematikan fungsi pendingin hawa. Tujuannya adalah untuk menjimatkan penggunaan minyak.
Myvi 1.5L High disifatkan sebagai kenderaan jimat tenaga dengan penggunaan minyak sebanyak 21.1 kilometer per liter (km/l).











