LUMUT 27 Mei – Jika disebut daun simpok, mungkin ramai yang tidak mengenali rupa, bentuk malah tidak tahu apakah manfaat dan kegunaannya.
Namun, bagi Malek Danish Aiman Malek Hussin, 18, daun simpok mempunyai keistimewaan sebagai pembungkus kuetiau kerang yang dijualnya.
Menurut Malek Danish, sudah 20 tahun keluarganya mengusahakan perniagaan kuetiau menggunakan daun simpok sebagai pembalut dan pengalas hidangan.
“Proses menggoreng dan resepi kuetiau yang kami usahakan ini sama saja dengan peniaga lain tetapi yang membuatkan kuetiau kami istimewa adalah daun simpok ini.
“Apabila dibungkus dengan daun simpok, kuetiau akan berbau wangi dan membangkitkan selera,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan IKM di sini baru-baru ini.
Menurutnya, bekalan daun simpok boleh diperoleh di tepi lebuh raya berdekatan Bukit Merah di Taiping.
Katanya, pada hari pertama dia menjual di bazar IKM Manjung di sini, sebanyak 800 bungkus kuetiau berjaya dijual kerana orang ramai teruja untuk merasa dan melihat keunikan menggunakan daun simpok ini.
Katanya, sambutan terhadap jualannya semakin meningkat dari sehari ke sehari.
“Harga yang dijual adalah RM2 sebungkus bagi yang biasa, RM4 adalah untuk kuetiau special iaitu tambahan kerang, udang dan juga telur,” kata Malek Danish yang berniaga dengan dibantu ibu dan bapanya.
Tambah anak muda ini, dia tidak menjual kuetiau daun simpok hanya di bulan Ramadan sahaja tetapi turut berniaga di pasar malam di Ipoh, Kedah, Pulau Pinang dan Manjung.
Menurutnya, baru-baru ini kuetiau daun simpoknya viral di media sosial kerana dikatakan sebagai daun ketum dan boleh membuatkan seseorang pening setelah memakannya.
Katanya, semua itu tidak benar dan hanyalah salah faham kerana daun simpok tidak mempunyai kesan seperti daun ketum tersebut.
Katanya, akibat daripada kes tersebut, perniagaannya sedikit terjejas kerana orang ramai bimbang untuk memakannya kerana khuatir boleh memudaratkan kesihatan.
“Namun Alhamdulillah hal tersebut sudah selesai dan perniagaan kami juga bertambah baik.
“Saya harap perkara tersebut tidak berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya.











