KUALA LUMPUR 27 MEI – SETIAP kali tiba Ramadan, sudah pasti umat Islam membayangkan keenakan bubur lambuk yang sinonim dengan bulan mulia itu.
Biasanya, hidangan popular itu akan dimasak secara gotong-royong di masjid atau surau seterusnya diagihkan secara percuma kepada orang ramai.
Masjid Ibn Khaldun, Sungai Besi di sini antara masjid yang telah memulakan tradisi memasak bubur lambuk sejak 15 tahun lalu.
Difahamkan, ‘rempah ratus lima beradik’ dan resipi turun temurun yang digunakan untuk memasak bubur berkenaan menjadi faktor bubur lambuk di situ menjadi sebutan.
Ketua tukang masak Mohd. Nosri Ahmad, 53, berkata, keistimewaan bubur lambuk di masjid berkenaan adalah gabungan rempah ratus lima beradik yang digunakan sejak 15 tahun lalu dan tidak pernah berubah.
Menurutnya, selain kayu manis dan bunga cengkih, turut digunakan dalam masakan bagi membangkitkan rasa tersendiri adalah bunga lawang, buah pelaga, herba jintan manis dan jintan putih.
“Pemilihan bahan-bahan mentah yang segar menjadi faktor utama keenakan kepada bubur lambuk yang disediakan termasuk penggunaan isi daging dan ayam.
“Untuk menambah aroma selain daun pandan, turut ditamb ah bawang goreng dan daun sup,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada program memasak dan pengagihan bubur lambuk kepada kariah dan penduduk setempat baru-baru ini.
Mohd. Nosri berkata, seawal pukul 8 pagi, beliau bersama lima pembantu termasuk beberapa ahli jawatankuasa masjid akan menyiapkan bahan-bahan memasak bubur lambuk.
Sepanjang bulan Ramadan, pihak masjid akan menyediakan sebanyak lima periuk bubur lambuk setiap hari.
“Bubur lambuk yang dimasak akan siap kira-kira pukul 2 petang seterusnya proses membungkus dan pengagihan dilakukan.
“Kira-kira 1,500 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada ahli kariah dan orang ramai setiap hari bermula hari pertama Ramadan hingga 25 Ramadan,” katanya.
Tambahnya, ramuan bubur lambuk masjid itu juga akan ditambah nilai setiap tahun bagi menjadikan ia lebih istimewa.











