KUALA LUMPUR 27 Mei – Resipi perapan hasil ciptaan sendiri menggunakan pelbagai rempah ratus menjadi penarik pelanggan seorang peniaga Ayam Tempayan di Bazar Ramadan Taman Melawati.
Menurut Zalhari Syahril , 29, terdapat 21 jenis bahan yang digunakan seperti rempah ratus, kunyit dan pelbagai lagi bahan segar lain diperap semalaman sebelum dibakar di dalam tempayan khas.
Menurutnya cara yang diguna pakai itu membuatkan isi ayam menjadi lebih lembut dan membangkitkan aroma tersendiri.
“Saya bersyukur dan tidak menyangka idea menggunakan resipi semasa mengikuti aktiviti perkhemahan sebelum ini kini menjadi sumber rezeki pada bulan Ramadan,” kata-nya ketika ditemui Utusan Malaysia di bazar berkenaan di sini.
Zalhari berkata, sambutan pelanggan terhadap ayam tempayan yang dijual amat memberangsangkan.
“Kira-kira 200 hingga 250 ekor ayam habis dijual setiap hari di bazar ini.
“Sepanjang tempoh enam tahun berniaga di bazar ini saya sudah mempunyai pelanggan sendiri,” katanya.











