Cabaran profesionalisme penjawat awam - Utusan Malaysia

Cabaran profesionalisme penjawat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERUBAHAN tampuk pemerintahan negara daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Kerajaan Pakatan Harapan turut dilihat menguji tahap profesionalisme seluruh kakitangan kerajaan. Ini kerana untuk sekian lamanya penjawat awam sudah begitu terbiasa dengan budaya dan cara kerja kerajaan BN, secara tiba-tiba perlu menyesuaikan diri dengan manifestasi kerajaan baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

PENJAWAT awam perlu berani mengatakan tidak kepada perkara yang membelakangkan kepentingan orang ramai serta menegur pemimpin politik yang melakukan kesilapan. GAMBAR HIASAN/AFP

Ironinya, penjawat awam berpegang teguh kepada prinsip menyokong dan mendukung kerajaan semasa ataupun government of the day, jadi inilah masa terbaik untuk penjawat awam membuktikan sikap profesionalisme, kejujuran dan keikhlasan masing-masing selepas bekerja begitu lama dalam pemerintahan kerajaan terdahulu.

Apa pun dalam konteks ini, isu integriti tetap menjadi pertaruhan penting. Dengan kerajaan mana sekalipun mereka berkhidmat penjawat awam wajib memelihara integriti masing-masing.

Ini kerana integriti umpama maruah dan harga diri. Integriti tidak boleh dijual beli sebaliknya mesti dipertahankan. Maksudnya tidak kira siapa yang memerintah, penjawat awam perlu membuktikan tidak akan berkompromi dalam soal integriti.

Penjawat awam juga perlu buktikan mereka boleh bertindak secara adil dan neutral tanpa bias. Di sini sekali lagi sikap profesionalisme mereka akan diuji. Harus diingat, baik kerajaan mahupun ahli politik akan datang dan pergi untuk tempoh setiap lima tahun.

Parti yang memerintah semalam boleh jadi pembangkang pada hari ini dan begitu juga sebalik­nya. Kerajaan hari ini pun boleh menjadi pembangkang dalam tempoh lima tahun akan datang kerana itu adalah proses amalan demokrasi yang biasa.

Tetapi perlu diingatkan penjawat awam lantikan secara tetap akan bekerja sehingga bersara untuk satu tempoh masa cukup lama, pada masa sama wajib berkhidmat kepada kerajaan semasa yang memerintah. Maka penjawat awam perlu bijak memainkan peranan supaya tidak menjadi mangsa keadaan ataupun kambing hitam dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

Dalam hal ini betul kita perlu menyokong, mendukung dan melaksanakan setiap dasar dan polisi yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan tetapi mestilah melalui proses dan asas pertimbangan yang jelas. Misalnya, perlu jelas apakah sesuatu dasar mahupun polisi yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan itu sama ada bersandarkan kepada kepentingan politik dan agenda peribadi ahli politik tertentu atau mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

Jika kita dapat membezakan dua perkara ini pasti penjawat awam tidak menghadapi sebarang masalah dalam menjalankan tugas. Apa yang lebih penting setiap tugas itu perlu dilaksanakan dengan adil dan saksama. Lebih pen­ting lagi tidak kelihatan bias kepada mana-mana pihak.

Dalam konteks ini, penulis tertarik dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika perhimpunan bulanan warga Jabatan Perdana Menteri baru-baru yang memberikan satu isyarat yang cukup jelas tentang keperluan pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman bagi memastikan tidak berlaku salah urus tadbir. Malah peranan penjawat awam sebagai pentadbir juga diperincikan dengan jelas.

Menurut beliau, pentadbir menjadi tangan yang terkuat dalam melaksanakan segala urusan untuk membangunkan negara dan pentadbir mestilah terdiri daripada pentadbir yang baik dan tidak terpesong kerana sebab-sebab lain.

Penjawat awam juga mestilah terdiri daripada anggota yang berpegang kepada ikrar mereka untuk berkhidmat demi negara tanpa dipesongkan oleh lain-lain perkara. Umpamanya kalau diarah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang negara, maka menjadi tanggungjawab pentadbir untuk tidak menerimanya.

Justeru penulis berpandangan setiap penjawat awam perlu menghayati pesanan dan amanat Perdana Menteri ini supaya mampu berfikir dan bertindak secara profesional tanpa rasa takut dan ragu-ragu. Selain itu kita perlu berani menyuarakan pandangan bila diperlukan demi kebaikan bersama.

Langkah itu penting kerana terdapat segelintir penjawat awam mungkin berada dalam keadaan dilema dan takut apabila terpaksa membuat sesuatu tugasan yang mempunyai agenda politik serta kepentingan peribadi. Semata-mata atas dasar menurut perintah, bimbang ditukarkan ke tempat lain atau laluan kenaikan pangkat terjejas.

Dengan adanya ‘lampu hijau’ daripada Perdana Menteri sendiri diharap penjawat awam mampu dan lebih berani untuk mengatakan ‘tidak’ kepada perkara-perkara yang membelakangkan kepentingan awam serta menegur pe­mimpin politik yang melakukan kesilapan.

Dalam soal menegur juga kita perlu memperlihatkan sikap profesionalisme yang tinggi. Menegur ada caranya dan perlulah mengikut pendekatan berhemah. Apa yang penting, teguran adalah untuk kebaikan dan dengan niat yang ikhlas, bukannya kerana berdendam atau bertujuan memalukan mana-mana pihak.

Dengan bermulanya era baharu pemerintahan negara, penulis juga yakin rakyat meletakkan harapan cukup tinggi terhadap penjawat awam untuk segera merealisasikan semua perubahan dan dasar yang diperkenalkan kerajaan.

Oleh itu gunakanlah kesempatan ini untuk buktikan bahawa penjawat awam boleh berkhidmat dengan sikap profesionalisme yang tinggi di samping sentiasa memperbaiki segala kelemahan dan ketirisan agar imej dan nama baik penjawat awam serta perkhidmatan awam terus terpelihara.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini