DALAM sidang akhbar pertamanya minggu lalu setelah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyemak semula tujuh undang-undang berkaitan keselamatan negara yang difikirkan tidak lagi sesuai pada masa ini.
Undang-undang itu adalah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948, Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), serta hukuman mati mandatori.
Menjelaskan bahawa undang-undang ini akan diganti sekiranya ada keperluan, Muhyiddin menegaskan KDN memerlukan sedikit masa, tetapi tidaklah sehingga PRU-15 baru dapat diselesaikan. Semakan dan kajian semula undang-undang ini adalah salah satu isu keselamatan negara yang disebutkan dalam manifesto Pakatan Harapan di bawah KDN.
Isu lain yang disebutkan dalam manifesto itu adalah memperbaiki imej Polis Diraja Malaysia (PDRM), penubuhan Suruhanjaya Aduan Bebas dan Salah Laku Polis selain menyebutkan janji kerajaan baharu untuk membanteras rasuah dan salah guna kuasa.
Teruja dengan kenyataan ini, penulis meneliti semula Manifesto PH setebal 203 halaman yang dimuat naik ke ruang siber.
Manifesto ini menzahirkan 60 janji, termasuklah 10 janji yang akan ditunaikan dalam 100 hari pertama kerajaan PH ditubuhkan.
Antara janji-janji yang ada kaitan isu keselamatan negara adalah Janji 14 (mereformasi SPRM dan memperkasa usaha membanteras rasuah), Janji 20 (menjadikan ATM dan PDRM sebagai sebuah pasukan dihormati dan disegani), Janji 27 (menghapuskan undang-undang yang zalim), dan Janji 53 (memerangi jenayah dan gejala sosial).
Kerja menyemak tujuh undang-undang yang disebutkan oleh Muhyiddin itu tidak termasuk dalam senarai 10 Janji 100 hari pertama. Ini bermakna kerja menyemak undang-undang ini memerlukan masa lebih panjang.
KDN tidak perlu melakukannya tergesa-gesa sebaliknya boleh mengambil masa secukupnya untuk mengadakan siri dialog, perbincangan serta konsultasi dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum membuat keputusan muktamad.
Inilah yang dilakukan di masa lampau sebelum Parlimen meluluskan Akta A1516 (bagi memperbaharui Kanun Tanah Negara 1965) dan Akta 777 (bagi memansuhkan Akta Syarikat 1965 dan menggantikannya dengan Akta Syarikat 2016 serba moden).
Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) bertujuan mengawal pengeluaran lesen mesin cetak serta permit penerbitan untuk pelbagai media cetak seperti akhbar harian dan akhbar parti politik. Akta ini juga mengawal kandungan penerbitan supaya tidak mengelirukan masyarakat, menyinggung perasaan orang lain atau memudaratkan keselamatan negara. Kali terakhir dipinda adalah pada 2012.
Dunia kini sudah beralih dari alam kertas ke alam digital, dan media cetak tidak lagi menjadi pilihan pertama orang awam.
Dalam era kerajaan terbuka ini, peraturan yang mewajibkan seorang itu mendapatkan lesen penerbitan dari kerajaan sukar diterima rakyat lagi.
Sesiapa sahaja boleh menjadi ‘penerbit’ dengan menyiarkan berita dan pendapatnya dalam blognya sendiri di ruang siber dan aktiviti ini tidak boleh dikawal oleh Akta 301.
Situasi ini tidak sewajarnya membimbangkan kerajaan kerana masih ada undang-undang lain yang boleh dipakai, seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Kanun Keseksaan dan sebagainya, sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku.
Akta Hasutan 1948 (Akta 15) adalah juga satu undang-undang lama, legasi zaman British. Beberapa pihak seperti Majlis Peguam telah mendesak undang-undang ini dimansuhkan. Dalam masa sama, ada pihak lain yang mahu akta ini dikekalkan tetapi dengan syarat diperbaiki.
Pada November 2016, Mahkamah Rayuan memutuskan (kes melibatkan ADUN Mat Shuhaimi Shafiei) bahawa satu peruntukan penting dalam akta ini (iaitu Seksyen 3(3)) adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, atas alasan-alasan lain, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan ini dan memerintahkan Mat Suhaimi dibicarakan semula. Ketidaktentuan dan kesamaran undang-undang beginilah yang memerlukan Akta 15 ini disemak semula secara keseluruhannya.
Sejak Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dikuatkuasakan di negara ini, bantahan terhadapnya berterusan dan belum reda.
SOSMA diluluskan oleh Parlimen bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), iaitu bagi menentang keganasan.
Akta ini memberi kuasa kepada pegawai polis bertindak, tanpa waran, menangkap dan menahan mana-mana orang yang dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan (security offences). Majlis Peguam berpendapat takrif istilah kesalahan keselamatan adalah terlalu luas, manakala Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berpendapat tangkapan ke atas Maria Chin (Pengerusi Bersih 2.0) di bawah akta ini pada 18 November 2016 menunjukkan akta ini tidak terhad kepada membanteras keganasan.
Walaupun Seksyen 4(3) akta ini menyatakan seorang itu tidak boleh ditangkap dan ditahan hanya kerana kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya, apa yang berlaku kepada Maria Chin membuktikan sebaliknya.
SOSMA juga digunakan untuk menahan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang.
Mereka akhirnya dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada Mei 2017 daripada pertuduhan cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan Malaysia.
Langkah KDN amenyemak semula beberapa akta sedia ada amat dialu-alukan. Segala kesamaran dan ketidaktentuan lama akan dapat dicerahkan. Seperti penulis nyatakan dalam ruangan ini minggu lalu (Memahami maksud rule of law, Utusan Malaysia, 22 Mei), antara ciri penting rule of law adalah kerajaan terbuka, kebertanggungjawaban dan undang-undang yang adil (just laws). Semoga apa yang dikata dapat dikota.
DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.











