LIMBANG – Malang menimpa seorang remaja lelaki apabila dia menemui ajal selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max di Kilometer 12, Jalan Nanga di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, Mohammad Iskandar Zulkarnain Apandi, 17, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada kepala dan kakinya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal itu seorang diri dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke pusat bandar Limbang dari Tedungan di sini.
Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kemalangan, motosikal jenis Yamaha LC 135 yang ditunggangnya tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Isuzu D-Max.
“Kesan perlanggaran itu telah mengakibatkan mangsa terjatuh dari motosikal dan mengalami kecederaan parah pada kepala dan kakinya.
“Mangsa maut serta-merta di lokasi kejadian, manakala pemandu Isuzu D-Max yang berusia 60 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Alexson menambah, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Limbang untuk dibedah siasat.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – K! ONLINE











