PONTIAN – Ternakan kerang dijangka menjadi tumpuan penting Jabatan Perikanan pada masa hadapan dengan Pontian bakal dijadikan hab kerang negara.
Dengan harga kerang boleh mencecah RM30 sekilo, jabatan itu berhasrat untuk memaju dan mengembangkan lagi potensi industri hiliran hasil laut berkenaan sekali gus menjana pendapatan yang lebih lumayan kepada nelayan yang mengusahakannya.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi berkata, di Johor sahaja, pengeluaran kerang tahun lepas telah mencapai lebih 1,000 tan metrik dengan tiga daerah pengeluar utama iaitu Pontian, Batu Pahat dan Muar dilihat berpotensi tinggi untuk dikembangkan.
“Pengeluar kerang paling tinggi adalah Pontian, oleh itu kita berhasrat menjadikan Pontian sebagai hab kerang negara berdasarkan kuantiti dan kualiti kerang yang boleh dihasilkan di daerah ini yang cukup memberansangkan.
“Sebagai contoh, kalau kita lihat di Pasar Selayang atau Pasar Borong Puchong, kerang dijual pada harga RM10 sekilo dan di Pontian harganya RM3.50 sekilo. – Bernama











