KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) iflix, Azran Osman Rani mengalami kecederaan pada anggota badan dan kepala selepas basikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kereta dalam satu kejadian di Jalan Duta menghala Jalan Kuching pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 8.45 pagi itu, mangsa yang juga merupakan bekas CEO Air Asia-X itu dikatakan sedang mengayuh basikal di kawasan berkenaan sebelum tiba-tiba dilanggar dari arah belakang.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, hasil siasatan mendapati kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berada di lorong kiri menghala ke Jalan Kuching mengubah laluan masuk ke susur keluar menghala Damansara.
Katanya, pemandu berusia 20 tahun itu tidak perasan ada seorang lelaki sedang menunggang basikal di hadapan laluannya sebelum terlanggar bahagian belakang basikal tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang basikal terbabit tercampak ke atas jalan raya selain mengalami kecederaan pada tangan kiri dan kepala.
“Mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – K! ONLINE











