JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya merampas rokok seludup bernilai RM830,960 termasuk cukai daripada sebuah lori di Jalan Sungai Tiram di sini.
Komander PPM Wilayah Dua, ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata, hasil maklumat orang ramai sepasukan enam anggota dan seorang pegawai telah mengekori sebuah lori tiga tan pada pukul 10.35 malam Selasa lepas.
“Anggota pasukan itu mengekori lori berkenaan selama 15 belas minit sehingga sampai di jalan berhampiran persimpangan Sungai Tiram. Apabila anggota cuba menghampiri, pemandu lori memberhentikan kenderaannya lalu melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 7,450 karton atau 74,500 rokok putih tidak sah berjenama Golden Deer di belakang lori berkenaan,” katanya kepada pemberita di Markas PPM Wilayah Dua dekat sini petang ini.
Khiu berkata, pihaknya percaya rokok seludup berkenaan adalah untuk pasaran negeri ini dan kawasan lain di semenanjung. – Bernama











