Abdul Puhat dilantik perunding Sukma 2018 - Utusan Malaysia

Abdul Puhat dilantik perunding Sukma 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 27 Mei – Bekas Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dilantik sebagai perunding kejohanan sukan dwitahunan itu.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumi yang mengumumkan perkara itu berkata, pelantikan Abdul Puhat atas faktor pengetahuan dan pengalamannya dalam hal ehwal pengurusan dan penganjuran Sukma Perak 2018 yang begitu luas.

Katanya, pelantikan Abdul Puhat membuktikan kerajaan negeri tidak memikirkan latar belakang politik dan hanya mahukan yang terbaik untuk penganjuran Sukma di Perak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya percaya pelantikan Abdul Puhat sebagai perunding Sukma 2018 menunjukkan kepada rakyat bahawa pentadbiran yang ada sekarang tidak memilih bulu dan sanggup bekerja dengan sesiapa sahaja demi kebaikan negeri kita,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How.

Sementara itu, Abdul Puhat mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar kerana memberikan kepercayaan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

“InsyaAllah saya akan cuba yang terbaik untuk pastikan Sukma ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Abdul Puhat merupakan antara penggerak utama kepada persiapan untuk penganjuran Sukma Perak 2018 pada 12 hingga 22 September ini.

Namun beliau yang sebelum ini merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bersara wajib daripada jawatannya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pada PRU-14, Abdul Puhat bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Pantai Remis namun kalah kepada calon parti Amanah, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini