TUMPAT 27 Mei – Seorang remaja terpaksa melupakan sementara hasrat untuk menyambung pelajaran semata-mata mahu menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat penyakit paru-paru kronik.
Nur Hidayah Abdullah, 19, berkata, hasrat itu terpaksa ditangguhkan sebanyak dua kali selepas kesihatan ibunya, Rosmini Ibrahim, 42, semakin merosot dan bergantung sepenuhnya pada balang oksigen untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Saya dapat tawaran menyambung pengajian di Kolej Poly-Tech Mara Kota Bharu (KPTM KB) pada 1 Julai tahun lalu, namun di tangguhkan ke 1 Januari lalu.
“Namun keadaan ibu yang tidak mengizinkan membuatkan saya terpaksa ‘melupakan’ seketika hasrat itu buat kali kedua dan akan menyambung pengajian pada tahun hadapan,” katanya.
Dia ditemui pemberita sempena Program Kita Kongsi anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) serta Hotel Grand River View (GRV) di sini, semalam.
Dalam kunjungan itu, Setiausaha Agung Kemudi, Rosmiza Kasim bersama Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel GRV, Raja Rusmin Datuk Raja Mahmud menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan.
Nur Hidayah memberitahu, apa yang membuatkan dia buntu gaji ibunya sebagai jururawat tidak cukup untuk menampung kehidupan mereka.
Katanya, kos balang gas yang digunakan oleh ibunya itu hampir RM400 seminggu.
“Bukan itu sahaja, ibu terpaksa menanggung tiga lagi adik yang masih bersekolah di tingkatan lima, empat dan tiga.
“Selain itu, seorang lagi adik yang berusia setahun setengah memerlukan penjagaan rapi bagi mengelakkan tumbesarannya terbantut,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akuan Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Nurul Hidayah 0301641000111013. – UTUSAN ONLINE











