KUALA LUMPUR – Kumpulan Wings memberikan satu tempoh kepada wanita yang mendakwa dihamilkan oleh seorang pemuzik daripada sebuah kumpulan legenda untuk menunjukkan bukti sebelum mengambil tindakan lanjut.
Menurut vokalis Wings, Datuk Awie, tiada perkembangan lanjut selepas pihaknya meminta wanita tersebut menunjukkan bukti berikutan dakwaannya itu.
“Selepas saya mencabar supaya menunjukkan bukti, wanita tersebut mendiamkan diri malah jika benar dakwaannya itu dia perlu membuat laporan polis selain menjalani ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).
“Saya juga pernah bercakap dengannya dan dia mengugut mahu membuat kacau ketika kami mengadakan persembahan tetapi dia tidak muncul pun,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan persembahan Nostalgia Ramadan Bersama Kumpulan Gitar Rancak Wings di Hotel Premiera di sini malam tadi.
Awie berkata, pihaknya juga akan membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang selepas tempoh yang diberikan kepada wanita itu tamat.
Terdahulu, seorang wanita yang dikatakan hamil lima bulan itu menuntut seorang pemuzik kumpulan legenda bertanggungjawab selepas lelaki tersebut menghamilkan dirinya sebelum memutuskan hubungan dengannya. – K! ONLINE











