KUALA LUMPUR 27 Mei – Sebuah rumah teres dua tingkat musnah di bahagian bawah dalam kejadian kebakaran di Jalan Parkland 4, Semenyih dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut jurucakap Bomba dan Penyelamat Selangor, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 5.16 pagi yang memusnahkan hampir 50 peratus di bahagian tersebut.
Ujarnya, ekoran bahang panas dan api marak di bahagian itu turut menyebabkan runtuhan bumbung dan atap.
“Kerja pemadaman kebakaran melibatkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih dan api berjaya dikawal kira-kira pukul 5.46 pagi.
“Operasi berada dalam keadaan terkawal dan tamat sepenuhnya kira-kira pukul 6.45 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah jurucakap Bomba, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui anggaran kerugian dan punca sebenar kejadian. – UTUSAN ONLINE











