IPOH 27 Mei – Perak bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan pasukan adik, PKNP 4-3 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, di sini malam tadi.
Perak mendahului PKNP hasil gol Mohd. Nor Hakim Hassan minit kelapan namun pasukan pelawat mengikat kedudukan 1-1 menerusi gol Clovis Franklin Anzitte-Touadere pada minit ke-32.
Di babak kedua, PKNP meledak dua gol masing-masing menerusi Mohamad Syamin Baharuddin (m-60) dan Mohd. Norhakim Isa (m-68) untuk mendahului Perak 3-1.
Perak bangkit mengikat kedudukan 3-3 menerusi Mohamad Nasir Basharuddin (m-76) dan Mandez Luiz (m-84).
Perak meraih gol untuk kemenangan 4-3 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Gilmar pada minit ke-90.
Tiga mata yang diraih malam tadi membolehkan Perak naik semula ke tangga kedua liga dengan 24 mata. – UTUSAN ONLINE











