Perak tunjuk belang atasi PKNP FC 4-3 - Utusan Malaysia

Perak tunjuk belang atasi PKNP FC 4-3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Perak berjaya membuktikan kekuatannya selepas membenam pasukan adiknya, Kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) dengan jaringan 4-3 dalam saingan Liga Super di Stadium Perak di sini hari ini.

Skuad Perak yang lebih dikenali sebagai The Bos Gaurus terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ke-8 selepas Mohd. Nor Hakim Hassan melakukan rembatan leret ke gawang gol PKNP FC selepas menerima hantaran tanduk daripada Gilmar Jose Da Silva.

PKNP FC yang dikendalikan oleh Abu Bakar Fadzim bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-3 menerusi pemain import, Clovis Franklin Anzite pada minit ke-33.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jaringan tersebut dihasilkan selepas pemain tengah PKNP FC, Hafiz Ramdan membuat hantaran lintang sebelum Franklin melakukan rembatan kencang ke gawang Perak.

Rantak pemainan PKNP FC semakin rancak sebelum berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-59 menerusi pemain gantian, Mohamad Syamin Baharudin.

PKNP FC berjaya menjaringkan gol ketiga menerusi Mohd. Norhakim Isa pada minit ke-68 selepas pemain pasukan pasukan tersebut melakukan counter-attack apabila Perak gagal menjaringkan gol selepas dihadiahkan sepakan percuma di luar kotak penalti.

Perak bagaimanapun tidak mengaku kalah sebelum berjaya mencetak gol kedua pda minit ke-75 selepas kapten pasukan, Mohamad Nasir Basharudin menguis bola di hadapan pintu gol PKNP FC.

Skuad The Bos Gaurus berhasil menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-84 menerusi Wander Luiz sekali gus kembali menghidupkan peluang untuk memperoleh kemenangan dalam perlawanan tersebut.

Percaturan Perak berhasil apabila mereka dihadiahkam sepakan penalti pada masa kecederaan selepas Gilmar dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Gilmar yang mengambil sepakan penalti berjaya memanfaatkan peluang tersebut sekali gus menyaksikan Perak berjaya mengatasi PKNP FC dengan jaringan 4-3.

Kemenangan tersebut menyaksikan Perak melonjak ke tangga kedua Liga Super dengan 24 mata manakala PKNP FC kekal di tangga ketujuh liga. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini