MUKADIMAH: PAKAR ekonomi negara, Profesor Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali melahirkan rasa syukur kerana proses peralihan kuasa kerajaan baharu Pakatan Harapan yang diterajui Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed, berlaku ketika situasi ekonomi dalam dan luar negara berkeadaan baik dan stabil.
Menurut Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau juga gembira kerana bersandarkan laporan yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Gabenor Bank Negara dan penasihat ekonomi negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, ekonomi negara tidak menghadapi situasi ‘sistemik’ (serangan terancang) mahu pun krisis kewangan.
“Ini sebenarnya sesuatu yang menguntungkan (rakyat dan negara) kerana peralihan kuasa (kerajaan) ini tidak berlaku dalam keadaan ekonomi negara berhadapan krisis,” katanya sambil merujuk krisis mata wang yang berlaku pada 1997/1998.
Ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, Hafizahril Hamid dan Sahidan Jaafar, beliau turut menyatakan dalam suasana semangat baru ini, kerajaan Pakatan Harapan juga dilihat lebih terbuka, manakala rakyat pula bebas untuk memberi pandangan. Malah pada masa yang sama kerajaan turut menghormati pandangan yang berbeza, terutama dalam kalangan pakar memberi pandangan.
MINGGUAN: Pada pandangan Tan Sri, apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan baharu dalam tempoh 100 hari dan tempoh dua tahun mendatang selain janji-janji dalam manifesto PRU-14?
NOOR AZLAN: Kita kena faham, prestasi ekonomi digerakkan oleh pemain-pemain dalam sektor ekonomi termasuklah konsumer (pengguna), juga para pelabur (termasuk dalam negara, luar negara), pelancong, termasuk juga komponen kerajaan dan sebagainya.
Jadi, prestasi ekonomi (sesebuah negara) itu bergantung kepada apa respons atau tindakan semua kumpulan ekonomi ini. Dalam ekonomi mudah saja, ada isi rumah (household), firma (firms), kerajaan (goverment) dan sektor antarabangsa (international sector).
Kempat-empat (komponen) ini secara umumnya akan menentukan apakah hala tuju prestasi ekonomi sesebuah negara. Dalam mana-mana keadaan, umpamanya berlaku kemelesetan ekonomi peringkat antarabangsa, bagaimana reaksi pengguna (consumer behavior) dalam negara, reaksi industri (pelabur), reaksi kerajaan dan masyarakat antarabangsa akan menentukannya.
Ini bererti, dalam konteks PRU-14 ini, apa yang penting ialah apakah reaksi setiap kumpulan ini? Secara umumnya reaksi mereka ini pastinya salah satu daripada faktornya ialah kestabilan dan keyakinan bahawa ekonomi negara akan bergerak dengan baik.
Keyakinan (trust) terhadap kestabilan politik pastinya satu daripada komponen. Tapi saya hendak terjemahkan dalam konteks ekonomi. Kita hari ini membuat keputusan berbelanja untuk membeli apa yang kita mahu.Ada benda yang kita tak boleh tangguh, misalnya makan minum kita tak boleh tangguh.
Tetapi, pembelian-pembelian yang lebih besar (capital) sifatnya, seperti pembelian rumah, pembelian kenderaan yang lebih besar sifatnya, sesetengahnya memerlukan kita membuat beberapa pertimbangan. Jadi, ini bererti dalam ekonomi (consumer) hari ini, perbelanjaan hari ini bergantung kepada jangkaan pada masa akan datang. Expectations Theory (Teori Jangkaan) ini dah lama.
Sebenarnya, apa yang kita jangkakan itu akan menentukan keputusan kita pada hari ini. Samalah juga dengan pelabur-pelabur. Sebabnya, pelabur-pelabur juga akan dipengaruhi oleh persekitaran, polisi (penggubal dasar) dengan keutamaannya.
Sejauh mana mereka (pelabur) respons, bergantung kepada keyakinan dan kejelasan. Jelas atau tidak? Juga, apa yang berlaku seterusnya? Saya rasa, dari situ barulah kita akan dapat lihat prestasi ekonomi dengan lebih jelas, sama ada menaik atau menurun. Pada masa ini, saya rasa terlalu awal untuk kita membuat penilaian yang khusus.
Tetapi, setidak-tidaknya, satu yang saya anggap untung kerana peralihan kerajaan ini berlaku dalam keadaan ekonomi, dalam negara dan luar negara berada dalam keadaan yang baik.
Kalau kita lihat kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan yang baharu, anggota penasihat ekonomi, Dr. Zeti Akhtar Aziz dan Bank Negara Malaysia bahawa ‘ekonomi negara stabil’. Boleh Tan Sri jelaskan lebih lanjut.
NOOR AZLAN: Ya. Ini saya tengok ada tiga kenyataan (tentang prestasi ekonomi negara). Pertama, Menteri Kewangan yang baharu, Lim Guan Eng dalam kenyataannya pada Selasa lalu sangat jelas mengatakan, ‘ekonomi semasa negara berada dalam keadaan stabil’. Maksudnya, sistem kewangan kita mantap.
Kedua, sebelum itu Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (anggota penasihat kerajaan Pakatan Harapan) berkata, perubahan (kerajaan) berlaku dalam masa yang betul bila ekonomi negara kita berada dalam keadaan stabil.
Ketiga, pengumuman dari Bank Negara juga mengeluarkan kenyataan ekonomi negara kita berada dalam keadaan baik, stabil dan sebagainya.
Ini sebenarnya sesuatu yang menguntungkan (rakyat dan negara) kerana peralihan ini tidak berlaku dalam keadaan ekonomi berhadapan krisis.
Contohnya, kalau kita tengok di Indonesia dahulu semasa krisis 1997/1998, itu krisis. Saya berpandangan bahawa keadaan ekonomi negara kita berada dalam keadaan baik dan perubahan-perubahan yang akan dilaksanakan ini mungkin lebih mudah, lebih teratur sekiranya hendak dilaksanakan.
Sejauh mana isu-isu kos sara hidup, 1MDB dan rasuah boleh mempengaruhi ekonomi negara. Boleh Tan Sri jelaskan?
NOOR AZLAN: Berbalik kepada soalan menyentuh perkara-perkara pokok dan kadang-kadang orang nampak isu ekonomi. Sebenarnya takrifan saya terhadap ekonomi agak berbeza.
Umpamanya, bila saya baca kenyataan-kenyataan terkini Menteri Kewangan, beliau bercakap tentang isu-isu 1MDB. Isu ini bagi saya adalah lebih kepada kepada isu governance, isu intergriti, isu amanah, pelaporan dan sebagainya.
Tapi, itu satu isu yang kita pun tahu bahawa kerajaan sedang menanganinya. Tetapi ada satu lagi isu yang sebelum PRU-14 muncul dengan agak ketara dan sebahagian isu ekonomi yang dibincangkan paling ketara ialah isu cost of living (kos sara hidup).
Mungkin pada peringkat awal ini, isu (kos sara hidup) belum mendapat penumpuan yang begitu terperinci. Juga, isu pendapatan sama ada isu pembangunan yang lebih seimbang. Seimbang ini, silang wilayah, silang strata pendapatan, silang pekerjaan dan sektor.
Perkara-perkara ini penting perlu ditangani di samping tindakan-tindakan nak membetulkan beberapa perkara, dirasakan ada kepincangan, tapi kita juga perlu memberi perhatian kepada isu kos sara hidup ini. Mungkin sekarang dengan adanya Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Azmin Ali dapat menangani isu ini.
Apa faktor yang diambil kira bagi menjelaskan analisis dan laporan yang mengatakan bahawa situasi ‘ekonomi negara sekarang berada dalam keadaan baik atau stabil’?
NOOR AZLAN: Saya juga kerap memberi penerangan ataupun ulasan ekonomi sebelum ini. Pertamanya ahli-ahli ekonomi seperti saya, kita membuat analisis berdasarkan fakta. Apakah fakta-fakta itu?
Fakta-fakta yang dilaporkan secara rasmi berdasarkan Laporan Bank Negara, Laporan Kewangan Kementerian Kewangan, Laporan Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan isu-isu penarafan.
Jadi, ulasan-ulasan terhadap isu ekonomi pada ketika itu berdasarkan kepada maklumat-maklumat awal. Berdasarkan maklumat tersebut kita membuat penilaian.
Contohnya, saya melihat laporan-laporan ini. Sebab itu saya dari dahulu berpandangan secara umum, iaitu secara makronya pertumbuhan ekonomi berada dalam patern yang baik. Penarafan atau sovereign credit rating (penarafan kredit berwibawa) berada dalam keadaan baik.
Saya bukan orang yang terlibat membuat penarafan. Saya bersandarkan kepada maklumat institusi yang berwibawa dan bukan (sumber) ahli politik atau pandangan seorang menteri yang mengatakan ekonomi negara baik, maka saya pun kata baik, tidak begitu.
Kita bersandarkan kepada maklumat-maklumat yang berwibawa. Saya akan pastikan maklumat-maklumat itu ditafsirkan dengan baik. Kebetulan mungkin, kenyataan itu sama dengan kumpulan-kumpulan tertentu dan tidak sama dengan kumpulan lain.
Saya berharap kita faham bahawa kesamaan ataupun ketidaksamaan itu berdasarkan kepada fakta, bukan kecenderungan politik.
Bila kita kata pertumbuhan ekonomi baik, kita lihat kepada kadar pertumbuhan. Saya merujuk kepada kadar pertumbuhan. Malah, saya pernah buat kenyataan baru-baru ini bahawa pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara itu baik bukan saja semasa Datuk Seri Najib Tun Razak sahaja malah sejak negara mencapai kemerdekaan lagi.
Tetapi kita harus faham, bila kita kata pertumbuhan ekonomi baik, peningkatan pendapatan yang patern-nya baik berbanding dengan negara-negara lain, kedudukan kewibawaan ekonomi berdasarkan agensi penarafan itu baik, berdasarkan maklumat-maklumat yang diberikan, ia tidak sama sekali mengatakan kita tidak ada masalah.
Itu kena faham. Pertumbuhan ekonomi yang baik pertama sekali ialah laporan pertumbuhan makro. Pertamanya bagi saya melihat ekonomi itu, ibarat kita lihat rumah. Adakah rumah itu berada dalam keadaan baik, sempurna, boleh diduduki dan mempunyai potensi yang baik. Tetapi, bila kita pergi masuk ke dalam rumah, kemungkinan ada bahagian-bahagian dalam rumah itu yang perlu ditangani.
Jadi dalam perkara ini saya sangat konsisten. Saya menganggap pertumbuhan ekonomi kita berada dalam keadaan baik, diurus dengan baik secara umumnya, tetapi ada elemen-elemen dalam ekonomi negara kita yang merupakan cabaran yang perlu ditangani.
Semasa era Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dahulu, pertumbuhan ekonomi negara berada dalam keadaan yang baik. Laporan-laporan ekonomi menunjukkan Malaysia sebuah negara yang tumbuh dengan maju.
Ketika itu Bank Dunia iktiraf Malaysia antara negara Asean Tigers (Harimau Asean). Tiba-tiba kita berhadapan dengan krisis paling teruk pada 1997/1998.
Jadi, ekonomi baik tetapi ada beberapa keadaan dalam ekonomi itu yang perlu kita tangani dan bila berlaku krisis mata wang ia memburukkan lagi keadaan.
Sehingga hari ini dalam rekod negara kita, kebetulan Tun Daim sekarang tampil semula, semua mengatakan bahawa ‘kita diserang’. Walhal, ketika itu semua mengatakan bahawa perancangan ekonomi, pertumbuhan ekonomi semuanya baik tetapi negara pada ketika itu berdepan serangan mata wang.
Jadi, saya melihat suasana ekonomi keseluruhannya sebelum PRU-14 dan sekarang berada dalam keadaan yang stabil. Saya gembira bila Dr. Zeti dan kawan-kawan di Bank Negara dan terkini Menteri Kewangan baru juga mengatakan begitu. Jadi, kita ambil (pendirian) itu dulu.
Apakah cabaran-cabaran yang bakal dihadapi oleh kerajaan Pakatan Harapan dan langkah-langkah perlu diambil bagi menangani isu-isu ekonomi hari ini?
NOOR AZLAN: Bagaimana kita hendak menangani cabaran itu, bermula dari sini. Saya rasa kerajaan hari ini mempunyai pandangan-pandangan yang khusus. Di sinilah letaknya perbezaan.
Cabarannya pada hari ini ialah bagaimana kita nak melaksanakan idea-idea ini atau dasar-dasar yang baharu tanpa kita merencat ataupun mengganggu pertumbuhan ekonomi negara. Itu sangat penting untuk kita faham, suasana ekonomi keseluruhan dan juga semua permasalahan yang ada. Ini non sistemik.
Kalau sistemik, mustahil sistem perbankan kita berada dalam keadaan baik. Apa yang berlaku pada 1997/1998 keseluruhan sistem kena, setiap peringkat kena.
Hari ini tidak begitu. Ini kita kena membezakan apa permasalahan yang dihadapi dengan prestasi ekonomi secara keseluruhan. Saya fikir, kenyataan Menteri Kewangan dan Tan Sri Zeti baru-baru ini sesuatu yang betul.
Terjemahan saya juga adalah terjemahan yang tepat, maksudnya ekonomi negara berada dalam keadaan baik dan situasi yang tepat. Sebagai ahli ekonomi, mengubah dasar dan polisi itu adalah hak kepada sebuah kerajaan. Kita kena hormatinya. Perubahan dasar dan polisi ini yang umumnya baik, mungkin peluang untuk dilaksanakan menjadi lebih baik.
Hutang negara kita dikatakan sudah mencecah RM1 trilion berbanding RM600 bilion sebelum Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih. Apakah kesan hutang itu terhadap negara pada pandangan Tan Sri?
NOOR AZLAN: Saya tidak ada maklumat yang rasmi. Kalau boleh nak tengok adakah ini suatu pemalsuan atau pelaporan yang tidak tepat. Kerana kami ahli-ahli ekonomi bersandarkan maklumat yang dibekalkan.
Benda yang rahsia kita tidak tahu. Jangan disalahkan ahli ekonomi yang membuat takrifan yang berbeza. Dan berdasarkan data-data itu saya percaya kita ada keyakinan, sistem untuk pelaporan data-data ekonomi dan kewangan negara itu mempunyai sistem yang baik dan standard yang tertentu. Jadi kita bersandarkan maklumat itu.
Sekiranya, tiba-tiba maklumat itu tidak benar, atau tidak mengambarkan keadaan sebenarnya, saya kira perkara itu amat penting. Penting untuk memberi penjelasan apa yang membezakan jumlah itu. Sekarang, kita bercakap tentang jumlah dahulu. Hutang negara (ketika Barisan Nasional) melebihi RM600 bilion meningkat kepada RM1 trilion (bila Pakatan Harapan berkuasa).
Jumlah itu lebih kurang tambahan melebihi RM400 bilion. Adakah takrifan yang berbeza? Kita fahamlah disebabkan cara takrifan kita berbeza. Saya sedang mencari faktanya.
Sekiranya diambil kira pinjaman-pinjaman yang dibuat oleh firma-firma berkaitan kerajaan contohnya, ini bererti jumlah itu mungkin berbeza.
Saya belum mendapat pecahan-pecahannya tentang hutang kerajaan yang telah mencecah RM1 trilion itu. Apakah ia suatu takrifan atau sengaja tidak dilaporkan sebelum ini?
Sengaja tidak dilaporkan, kalau itu yang berlaku, itu lebih berat sebab ini melibatkan pelaporan ekonomi negara. Sebab, angka ini juga dipakai oleh agensi-agensi antarabangsa. Dalam ekonomi, menyorok maklumat bukanlah suatu perkara yang mudah.
Bagus untuk kerajaan sekiranya dapat memberi penjelasan. Pertama, mudah kepada ahli ekonomi, kedua banyak lagi pihak lain yang menilai negara kita, pelabur asing dan agensi-agensi antarabangsa yang membuat penilaian. Ini semua perlu diambil kira.











