KUALA LUMPUR 26 Mei – Kedatangan Ramadan pastinya disambut meriah oleh setiap umat Islam. Ini kerana bulan itu membawa rahmat dan berkat dalam kehidupan.
Disebabkan itu, hampir semua pihak tidak mahu melepaskan peluang dan berebut-rebut menganjurkan majlis berbuka puasa bagi meraikan golongan yang kurang bernasib baik.
Begitu juga bekas selebriti seperti Aryan Farhan yang memberi sumbangan kepada bekas pegawai perhubungan awam New Southern Records Sdn. Bhd. (NSR Records), Sawiah Ali, 60, yang mempunyai hubungan akrab dengan penggiat seni pada 1980-an.
Menerusi majlis berbuka puasa Aryan Farhan bersama penggiat seni veteran, Sawiah menerima sumbangan wang tunai bagi menghargai jasanya dalam bidang seni suatu ketika dahulu.
Menurut Sawiah, beliau yang kehilangan kedua-dua belah kaki akibat penyakit diabetis berasa terharu dengan sumbangan yang diberikan Aryan.
“Saya mempunyai hubungan rapat dengan ibu kepada Aryan yang merupakan wartawan hiburan pada 1980 selain dengan penggiat seni yang lain.
“Sumbangan yang diberikan ini amat mengejutkan kerana hampir 15 tahun kami terpisah hubungan. Saya berasa bersyukur dengan sumbangan ini,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia selepas majlis berbuka puasa tersebut di Hotel Seri Pacific, di sini hari ini.
Sementara itu, Aryan berkata, beliau akan terus memberikan sumbangan berbentuk wang tunai setiap bulan bagi membantu Sawiah dan penggiat seni veteran yang lain yang memerlukan.
Katanya, kebanyakan penggiat seni veteran kurang mendapat perhatian oleh badan bukan kerajaan (NGO) selain kurang mendapat tawaran dalam industri seni.
“Sumbangan ini diharap dapat membuka mata semua pihak agar tidak melupakan jasa penggiat seni veteran yang telah banyak menyumbang kepada industri dalam negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE











