KUALA LUMPUR 26 Mei – Polis masih giat mengesan Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dengan dibantu pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Imigresen.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, usaha memburu Ketua Umno Bahagian Sungai Besar sejak petang semalam itu masih dijalankan namun sehingga kini masih gagal dikesan.
“Jamal masih belum dapat dikesan lagi. Semua pihak pasti membantu dalam mencarinya,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.
Berita berkaitan:
Semalam, Jamal telah meninggalkan kawasan Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang sebelum menyelesaikan proses dokumentasi jaminan mahkamah.
Jamal didakwa di hospital atas tiga pertuduhan dan mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap kes.
Bagaimanapun, ketika proses dokumentasi jaminan mahkamah sedang berjalan petang semalam, beliau telah meninggalkan kawasan hospital tersebut. – UTUSAN ONLINE











