DEMI cinta pada bola sepak negara dan tidak mahu sejarah kegemilangannya dilupakan dan ditelan zaman, seorang pemuda mengambil inisiatif mengumpul pelbagai koleksi barangan sukan itu yang pernah dikeluarkan.
Bermula dengan sehelai jersi milik pemain legenda bola sepak negara Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Mohd. Faiz Ajis, 36, terus menjejaki sejarah bola sepak negara melalui pelbagai koleksi lain termasuk medal, cenderamata dan buku perlawanan.
“Jersi Mokhtar Dahari ini saya peroleh daripada salah seorang rakan ketika menuntut di sebuah universiti pada tahun 2005.
“Jika orang lain lebih berminat untuk mengumpul jersi pemain-pemain daripada Liga Perdana England, saya pula lebih berminat untuk mengumpulkan jersi pasukan liga tempatan.
“Lagi pun, ia melambangkan semangat patriotik kita kepada Malaysia,” kata penjawat awam itu ketika ditemui di rumahnya di Kelana Jaya baru-baru ini.
Berhabis wang
Selain jersi bekas pemain seperti Mokhtar Dahari, Azman Adnan dan Nizam Azhar, koleksi menarik turut dimilikinya ialah medal kejohanan bola sepak sejak zaman Malaya, beg yang digunakan pemain ketika menyertai Pesta Bola Merdeka serta baju batik milik pemain yang pernah dipakai ketika kelayakan Olimpik Moscow 1980.
Menurutnya, dia turut memiliki koleksi beg yang digunakan pemain negara ketika menyertai perlawanan-perlawanan di luar negara dan beg paling lama dimilikinya ialah yang digunakan pemain pada tahun 1968.
“Harimau Malaya juga merupakan pasukan digeruni lawan dan antara yang terkuat di Asia suatu ketika dahulu, namun tidak banyak peninggalan atau bahan yang boleh dikenang oleh generasi masa kini dan akan datang.
“Jadi, dengan mengumpul barangan seperti ini diharap pasukan bola sepak negara dan jasa pemain yang pernah mengharumkan nama Malaysia akan terus diingati,” katanya.
Mohd. Faiz berkata, dia menghabiskan lebih RM10,000 untuk mendapatkan barangan berkenaan daripada pelbagai sumber antaranya kedai barangan antik, koleksi peribadi pengumpul lain, malah ada yang diperoleh daripada bekas pemain sendiri.
Sehingga kini, dia telah berjaya mengumpul kira-kira 300 jersi, 100 cenderamata dan 100 buku perlawanan yang disimpan di rumahnya.
Selain itu, tambahnya, dia turut memiliki barangan khas yang dikeluarkan sempena Pesta Bola Merdeka, sebuah kejohanan bola sepak tahunan yang diadakan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia sejak tahun 1957.
“Bagi menambah nilai sentimental sesuatu koleksi, saya juga tidak melepaskan peluang bertemu dengan pemilik asal untuk menurunkan tandatangan pada barangan tersebut.
“Ada yang terkejut apabila saya bawa dan tunjukkan barangan itu kepada mereka. Mereka rasa kagum, hairan dan tertanya-tanya dari mana saya dapatkan barang tersebut,” ceritanya.
Tak ternilai
Menurut Faiz, buat masa kini, dia tidak bercadang untuk menjual koleksi-koleksi itu kerana menganggap ia tidak ternilai harganya.
“Kebanyakan koleksi khazanah bola sepak saya ini ada sejarah tersendiri dan ia amat sukar diperoleh,” katanya.
Mohd. Faiz berkata, bagi berkongsi koleksinya dengan orang ramai, dia sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak seperti muzium, persatuan bola sepak atau badan bukan kerajaan untuk mewujudkan pusat pameran atau muzium khas.
“Buat masa kini, saya menulis dan berkongsi sejarah mengenai koleksi saya ini melalui blog malaysiafootballmuseum.blogspot.com.
“Perkongsian di muzium bola sepak Malaysia secara maya ini liputannya juga lebih meluas dan global,” katanya.
Pemuda kumpul pelbagai koleksi barangan sukan itu termasuk jersi legenda Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.











