KOTA BHARU 26 Mei – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) hari ini menggalakkan setiap masjid supaya membangunkan koperasi sendiri.
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sebagai umat Islam sudah menjadi tanggungjawab untuk mempunyai kekuatan ekonomi sendiri.
“Koperasi ni merupakan gerakan kerjasama antara umat Islam bagi bersama-sama membuat kebaikan. Angkasa juga akan melaksana lebih banyak program supaya manfaat yang diperoleh dapat disumbangkan kepada setiap ahli.
“Saya lihat ada sebanyak 6, 700 masjid di negara ini yang berpotensi membangunkan koperasi sendiri. Kita hendak menggalakkan setiap kariah ada gerakan koperasi dan aktiviti yang dijalankan bergantung pada setiap masjid itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Berbuka Puasa anjuran Angkasa Kelantan dengan kerjasama Koperasi Kariah Masjid al-Hasani, Mukim Lubok Pukol, Banggu, di sini hari ini.
Pada majlis sama juga, Abdul Fattah menyampaikan bantuan kewangan kepada golongan fakir miskin melibatkan penduduk di lima buah kampung di sini. – UTUSAN ONLINE











